Kurang 24 jam tular jeti roboh di Semporna, kayu pelantar siap ditempah, kerja baiki dijangka selesai 3 hari


  • Primer
  • Isnin, 30 Jan 2023

Kerja-kerja baik pulih jeti sudah bermula dan dijangka siap pada Khamis.

PADA Isnin seluruh rakyat Malaysia dikejutkan dengan satu kemalangan menyebabkan sekumpulan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pababag apabila jeti yang digunakan menuju ke sekolah roboh di Kg Pababag, Semporna, Sabah

Kemalangan tersebut menyebabkan dua kanak-kanak sekolah rendah mengalami kecederaan ringan, manakala 23 murid lagi termasuk lima murid Tabika Kemas tidak mengalami sebarang kecederaan semasa terjatuh ke dalam laut.

Kerosakan jeti terbabit turut menyebabkan urusan harian penduduk di Kg Pababag terganggu memandangkan ia laluan utama pengangkutan di kawasan tersebut.

WhatsApp Image 2023-01-30 at 7.03.53 PM

Pihak Perhubungan Parlimen Semporna sudah mengenal pasti punca robohnya jeti tersebut.

Pegawai Perhubungan Parlimen Semporna, Hamzah Kalipunya berkata, pihaknya telah mengenal pasti punca robohnya jeti tersebut dan sempat melawat mangsa-mangsa terlibat.

"Selepas kejadian, kira-kira 8.30 pagi itu berlaku, pihak kami bergegas ke jeti berkenaan dan sempat melawat pelajar dan menemui guru besar sekolah yang terlibat dalam insiden tersebut.

"Hasil pemeriksaan ke atas jeti itu, kami mendapati pelantar mendarat berbumbung telah rosak dan perlu diperbaiki segera," katanya kepada Majoriti.

ggg

Kayu untuk membaik pulih pelantar telah sampai dan kerja-kerja dijangka bermula pada Selasa.

Tambahnya lagi, usaha untuk membaiki pelantar jeti sudah bermula dan kerja-kerja akan bermula pada Selasa serta mengambil masa tiga hari itu menyiapkannya.

"Di sebelah petang kayu untuk membaik pulih pelantar telah sampai dan kerja-kerja akan bermula Selasa.

"Dijangka kerja-kerja membaiki pelantar itu siap dalam masa tiga hari dan sementara itu, penduduk pulau berkenaan boleh menggunakan jeti berhampiran," jelasnya.

Menurut Hamzah, secara keseluruhannya, kos baik pulih pelantar jeti yang roboh itu adalah antara RM10,000 hingga RM15,000.

"Pada masa sama pihak kami meninjau jeti di sekitar pulau berkenaan dan menganggarkan bajet RM50,000 untuk tujuan penyelenggaraan," katanya.

Untuk rekod, kali terakhir jeti di pulau berkenaan diselenggara kira-kira empat tahun lalu.

1921139

Tangkap layar insiden jeti roboh membabitkan murid SK Pababag di Semporna, Sabah pada Isnin.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, beliau sudah mengarahkan jenteranya memperbaiki segera jeti berkenaan menggunakan kewangannya sendiri bukan bajet kerajaan Sabah.

"Saya sudah mengarahkan pihak berwajib membaiki segera jeti berkenaan untuk membolehkan ia digunakan seperti biasa," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, beliau sentiasa menitikberatkan keselamatan penduduk di Semporna dan mengingatkan supaya orang ramai sentiasa berhati-hati dalam musim hujan.

"‘Penting bagi saya, ialah keselamatan rakyat dan supaya jeti tersebut dapat digunakan seperti biasa.

"Kepada rakyat Semporna khususnya, berhati hati dalam musim cuaca tidak menentu ini, semua kebajikan dan kesejahteraan warga Semporna, sentiasa menjadi keutamaan saya," jelasnya yang ke kawasan berkenaan minggu lalu sempena sambutan Tahun Baharu Cina. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram