Kaedah 'grounding' atasi tantrum, didik emosi si kecil kembali tenang bermain dengan alam semula jadi


  • Bonda
  • Rabu, 28 Mei 2025

Grounding merupakan aktiviti pemulihan kesedaran deria membantu kanak-kanak kembali tenang dengan memberi tumpuan kepada realiti dan persekitaran mereka. — Gambar hiasan/Freepik dijana AI

AKTVITI grounding antara pendekatan ideal boleh dipraktikkan ibu bapa dalam menangani masalah tantrum si kecil.

Grounding atau dikenali sebagai aktiviti pemulihan kesedaran deria adalah teknik yang membantu kanak-kanak kembali tenang dengan memberi tumpuan kepada realiti dan persekitaran mereka.

Kaedah tersebut kini semakin diterima dalam kalangan pakar psikologi dan pendidik awal kanak-kanak sebagai salah satu kaedah mengawal emosi secara semula jadi.

BACA LAGI: Kena marah, dimalukan, anak simpan memori pahit sebagai satu bentuk ancaman, jadi 'parut' apabila dewasa

BACA LAGI: Sihat atau tidak? Panduan ibu bapa kenal pasti jenis muntah bayi berdasarkan warna

Seorang pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Early Childhood Education), Dhamirah berkongsi manfaat aktiviti grounding yang menurutnya mampu mengatasi isu tantrum anak-anaknya.

Meluangkan masa berkelah seisi keluarga di kawasan rekreasi sungai, aktiviti tersebut bukan sahaja menghilangkan stres, malah membantu deria sentuhan anak-anaknya untuk lebih mesra dengan keindahan alam semula jadi.

Jelasnya, aktiviti itu menjadi rutin seisi keluarganya bila mana anak-anak kerap meragam dan kurang sihat.

Menganggap ia sebagai sejenis vitamin semula jadi, Dhamirah menjadikan ia sebagai salah satu kaedah ataupun solsi kepada keharmonian keluarganya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi tip mengatasi tantrum anak-anak menerusi hantaran berasingan di Instagram.

Berikut merupakan tiga perkara perlu dielakkan ibu bapa ketika emosi si kecil kurang stabil ataupun sedang memberontak.

1. Terangkan secara terperinci

Dhamirah menekankan kepentingan untuk ibu bapa menyatakan sebab dan alasan terhadap sesuatu perkara yang dilarang.

Contohnya: "Bukan kita tak nak pergi taman permainan, hujan ni mana boleh pergi nanti basah, licin".

Teks perbualan sedemikian menurutnya lebih praktikal dan berupaya membentuk kefahaman anak-anak terhadap sesuatu perkara sekali gus mengelak daripada sebarang isu tantrum.

2. Mengugut

"Berhenti menangis kalau tak mak tinggal sini".

Dialog tersebut sering kali diguna pakai golongan ibu yang mungkin berdepan kesukaran memujuk ataupun mengawal emosi anak.

Namun, ketahuilah bahawa ia hanya mendatangkan kesan trauma terhadap anak-anak yang mungkin akan hilang keyakinan diri apabila meningkat dewasa kelak.

Dhamirah berkongsi manfaat aktiviti grounding yang menurutnya mampu mengatasi isu tantrum anak-anak.

3. Memalukan

Mungkin dianggap sebagai usikan atau gurauan manja, namun ramai ibu bapa terlepas pandang kesan dan akibatnya terhadap pendirian si kecil.

Tanpa disedari, dialog seperti "Apalah dah besar pun menangis lagi" meninggalkan kesan jangka masa panjang jika dinormalisasikan sejak dari awal.

Kesannya, anak akan terasa keseorangan dan hilang kepercayaan terhadap ibu bapa dan berisiko tinggi untuk kemurungan.

Justeru, aktiviti grounding mampu memberi manfaat jangka panjang dalam membina kecekapan sosial, keyakinan diri dan kemahiran mengurus tekanan sejak usia muda.

Dalam era moden dipenuhi dengan rangsangan berlebihan terhadap skrin digital, pendekatan ibu bapa seharusnya kembali kepada asas seperti menyentuh tanah atau mendengar bunyi alam sebagai satu bentuk terapi yang mudah tetapi berkesan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram