Pendidikan asas kukuh, perkasa wanita ke arah kepimpinan — Fadhlina


  • Primer
  • Isnin, 26 Mei 2025

Fadhlina (enam dari kiri) pada Majlis Makan Malam Gala AWES 2025 yang berlangsung pada Ahad. — Facebook/Fadhlina Sidek

MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek menyeru agar ekosistem yang inklusif terus dibina bagi memperkasa penyertaan wanita dalam kepimpinan di semua peringkat, khususnya dalam sektor korporat dan profesional.

Beliau menyampaikan mesej tersebut ketika menghadiri Majlis Makan Malam Gala Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN (AWES) 2025 yang berlangsung pada Ahad di Kuala Lumpur.

Menurut Fadhlina, pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk generasi masa depan yang berilmu, berdaya saing serta berintegriti selain menjadi pemangkin utama dalam meningkatkan taraf kehidupan individu dan daya saing sesebuah negara.

BACA LAGI: Memalukan! Laluan pejalan kaki retak betul-betul depan hotel delegasi jejas imej KL sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak Asean Ke-46

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

“Saya tekankan bagaimana pendidikan perlu menjadi asas utama untuk membentuk generasi yang berilmu, berdaya saing dan berintegriti. Hanya pendidikan dapat mengubah taraf kehidupan seseorang.

"Ini juga selari dengan laporan Bank Dunia yang menyatakan pendidikan yang baik dapat meningkatkan daya saing sesebuah negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, platform seperti AWES 2025 amat penting kerana ia menyediakan ruang untuk membina kefahaman, menjalin rangkaian strategik dan mengukuhkan kerjasama serta kepimpinan dalam kalangan wanita di rantau ini.

Beliau turut menggesa agar langkah-langkah proaktif diteruskan bagi menambah baik ekosistem sedia ada serta memastikan representasi wanita sebagai pemimpin diperkukuh dalam semua sektor.

“Kita perlu membina ekosistem yang inklusif bagi memperkasa penyertaan wanita dalam kepimpinan di semua peringkat,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram