
ASETIAP pagi, seorang wanita, Dominica Yang akan menyanyikan lagu berjudul Can’t Help Falling in Love kepada ibunya walaupun wanita tua itu tidak lagi mengenalinya, apatah lagi mengingati namanya sendiri.
Itulah rutin yang dibuat selama empat tahun sehinggalah ibunya menghembuskan nafas terakhir pada 2016.
Kini, pengalaman pilu itu diabadikan dalam sebuah buku penuh jiwa berjudul My Mum Called Alzheimer’s yang menjadi satu catatan harian tentang cinta, kehilangan dan kekuatan dirinya sebagai seorang penjaga.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Jangan tinggal solat, hormati masa orang' antara pesanan ibu jadi panduan hidup
Dominica mula menyedari sesuatu yang pelik pada 2012 apabila ibunya menjadi terlalu taksub mengira pil ubat ayahnya iaitu satu tindakan berulang yang berakhir dengan rasa marah dan kecewa.
Ibu yang selama ini terkenal dengan ketenangan dan bijaksana secara tiba-tiba berubah menjadi mudah keliru dan emosional.
“Itu saat pertama saya mengenali penyakit Alzheimer,” katanya.
Dominica kini menjadi suara untuk komuniti penjaga pesakit Alzheimer di Hong Kong.
Alzheimer bukan sekadar pelupa biasa tetapi ia merampas keperibadian seseorang secara perlahan-lahan.
Ia menjadikan seorang ibu yang lemah lembut tidak lagi tahu menggunakan garpu atau tiba-tiba bercakap dalam ‘kod’ menggunakan nombor dan warna.
Bagi Dominica, setiap hari adalah pertarungan antara realiti dan kenangan.
Buku My Mum Called Alzheimer’s ditulis dalam gaya diari yang unik dengan halaman kosong yang dibiarkan tanpa tulisan sebagai simbol kekosongan dan kekeliruan yang dialami ibunya.
Sesuatu hal yang membezakan My Mum Called Alzheimer’s dengan karya lain adalah dari sudut cara penyampaiannya.
Buku itu ditulis dalam format diari iaitu ringkas tetapi padat dengan penuh makna.
"Saya mahu pembaca benar-benar fokus pada apa yang sedang dialami ibu saya,” katanya.
Simbol dan bentuk dalam karya itu juga memainkan peranan penting.
Bab baharu dimulakan dengan bentuk bulatan iaitu satu perlambangan hubungan antara mereka berdua.
Bulatan hitam tebal mewakili waktu ketika ibu Dominica masih waras, manakala bulatan kelabu mencerminkan saat-saat kabur.
Terdapat juga satu bab yang hanya dipenuhi contengan yang melambangkan detik ketika ibunya menunjukkan satu simptom biasa Alzheimer iaitu menulis dalam huruf kecil yang sukar dibaca.
Dominica tidak hanya berkongsi kisah duka tetapi juga menyorot momen manis seperti minum teh sambil menyanyi, membeli pakaian baharu atau memainkan marakas untuk menggembirakan ibunya.
Namun, ada juga sisi gelap yang tidak mudah dilupakan iaitu detik terjadinya amukan ketika ibunya tidak dapat menelan makanan, kecemasan hospital kerana sesak nafas dan momen apabila dia tidak lagi mengenali siapa dirinya sendiri.
Dan pada hari ke-1,733 sejak permulaan penyakit itu, Dominica mendedahkan bahawa ibunya sudah meninggal dunia.
"Dia sudah pergi. Akhirnya, tiada lagi penderitaan. Dia bebas. Ibu, saya tahu ibu sedang tersenyum. Saya rindu ibu," katanya.
Asalnya, nota-nota itu hanyalah catatan yang diarahkan oleh pakar psikiatri bagi membantu proses diagnosis.
Selepas pemergian ibunya, nota itu disimpan kerana Dominica terpaksa menjaga pula ayahnya dan kemudian bapa mentuanya.
Apabila anak-anaknya yang tinggal di luar negara membaca nota tersebut, mereka meminta Dominica menerbitkannya.
Namun, sebahagian kisah sensitif disimpan demi menjaga maruah ibunya yang sangat menghargai privasi.
Yang kini menjadi suara untuk komuniti penjaga pesakit Alzheimer di Hong Kong.
Beliau aktif memperjuangkan kesedaran mengenai demensia dan juga menubuhkan Brain Health Initiative pada 2015.
Baginya, perkara paling penting ialah jangan cepat menyerah.
“Mereka mungkin keliru. Tapi sentuhan anda, suara anda, semuanya masih memberi makna,” katanya.
Beliau menegaskan pentingnya mendapat bantuan profesional seawal mungkin, menyediakan rangsangan harian dan mengekalkan rutin yang dikenali oleh pesakit.
“Jangan biar mereka tenggelam dalam dunia sunyi. Kenangan mungkin pudar, tapi hubungan masih boleh dibina walau sekelip mata," katanya.
Hasil jualan buku itu disumbangkan kepada yayasan Charles K Kao untuk penyakit Alzheimer sebagai satu bentuk penghormatan kepada semua pesakit dan penjaga di luar sana.
"Setiap saat adalah berharga. Jika kita berjaya sentuh hati mereka walau untuk seketika, itu sudah cukup bermakna," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram