KKM sasar sifar kes denggi, ibu hamil disaran beri suntikan vaksin anak seawal usia 4 tahun


  • Maya
  • Jumaat, 23 Mei 2025

Ibu mengandung tidak digalakkan mengambil suntikan vaksin denggi atas faktor kesihatan kandungan. — Gambar hiasan

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan bahawa suntikan vaksin denggi tidak digalakkan untuk ibu hamil, namun amat disarankan buat golongan kanak-kanak seawal usia empat tahun.

Perkara itu merupakan sebahagian langkah pencegahan awal terhadap jangkitan virus demam denggi yang semakin membimbangkan kebelakangan ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, Dr. Ismuni Bohari,  menjelaskan kadar kes demam denggi adalah yang ketiga paling tinggi selepas Covid-19 dan penyakit tangan, kaki dan mulut (Hand, Foot, and Mouth Disease, HFMD) pada 2023.

BACA LAGI: 'Ada potensi jadi pereka fesyen,' warga maya kagum lihat gelagat puteri sulung Rizman melaram

BACA LAGI: Air mata tumpah saat mohon restu ibu, Luna Maya akhiri zaman bujang bersama Maxime Bouttier

Menyeru langkah proaktif diambil seluruh masyarakat negara, beliau menyokong pelancaran kempen ‘Tamatkan Kematian Denggi’ atau ‘End Dengue Deaths (ENDD)’ yang dilancarkan di Hotel Armada, Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.

Dr. Ismuni ketika berucap pada sesi dialog ‘Tamatkan Kematian Denggi’ yang diadakan di  Hotel Armada, Petaling Jaya.

Dr. Ismuni ketika berucap pada sesi dialog ‘Tamatkan Kematian Denggi’ yang diadakan di  Hotel Armada, Petaling Jaya.

Mensarankan orang ramai untuk mengambil vaksin bagi mengekang jangkitan denggi daripada terus berleluasa, Dr Ismuni menyokong sepenuhnya usaha dijalankan kumpulan Dengue Prevention Advocacy Malaysia (DPAM) dan Immunise4Life (IFL).

“Sejak bertahun-tahun, pihak KKM telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memerangi denggi, termasuklah melalui penggunaan teknologi canggih, penglibatan komuniti serta penguatkuasaan undang-undang yang tegas,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi DPAM dan IFL, Professor Datuk Dr. Zulkifli Ismail berkata, pihaknya menyokong pendekatan dalam membanteras denggi, yang merangkumi aspek epidemiologi, pengurusan vektor secara bersepadu, alam sekitar, penjagaan pesakit dan pengambilan vaksin.

Vaksinasi bukan sahaja mencegah denggi bersimptom, malah ia mampu mengurangkan kemasukan ke hospital dengan semua individu berusia empat tahun ke atas patut pertimbangkan untuk mendapatkan perlindungan tersebut.

Dr. Zulkifli (dua dari kiri) memberikan sokongan penuh terhadap usaha sama dijalankan pihaknya dan KKM dalam memerangi kes denggi.

Dr. Zulkifli (dua dari kiri) memberikan sokongan penuh terhadap usaha sama dijalankan pihaknya dan KKM dalam memerangi kes denggi.

Pun begitu, bagi golongan ibu mengandung ia tidak digalakkan untuk mengambil suntikan tersebut atas faktor risiko kesihatan ke atas kandungan mereka.

Namun, sebaik sahaja usia si kecil menginjak ke angka empat tahun, saranan utama pihaknya agar mereka segera diberikan vaksin TAK-003 yang kini tersedia di klinik dan hospital swasta negara.

“Untuk ibu mengandung kita masih belum ada sebarang kajian ataupun pendekatan terhadap mereka tapi kanak-kanak usia empat tahun dah boleh diberikan vaksin tersebut.

“Pengambilan dari peringkat awal mampu mencegah jangkitan denggi yang serius di masa akan datang,” ujarnya.

Professor Dr Zamberi Sekawi, Pengerusi Dengue Vaccine Position Paper menyatakan bahawa TAK-003 telah digunakan secara meluas di negara -negara endemik seperti Indonesia, Brazil dan Vietnam.

Di Indonesia sehingga Oktober 2024, lebih 8,800 murid sekolah rendah di Balikpapan telah divaksinasi manakala di Vietnam, lebih 150,000 doa telah diberikan dalam tempoh tiga bulan di seluruh negara.

“Vaksinasi bukan sahaja mencegah denggi bersimptom, tetapi ia berupaya  mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan semua individu berumur 4 tahun ke atas patut pertimbangkan untuk mendapatkan perlindungan berkenaan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram