Cantik sempurna hingga dianggap AI, pengantin berhijab dari etnik Muslim di China raih tumpuan warga maya


  • Tular
  • Khamis, 22 Mei 2025

Kecantikan yang dimiliki wanita berkenaan dianggap seperti wajah ciptaan AI. — Agensi

SEORANG pengantin perempuan yang sangat cantik dari Beijing, China menjadi tular di internet selepas ramai pengguna media sosial menyangka wajahnya dijana oleh kecerdasan buatan (AI).

Menurut laporan agensi, rakaman video majlis perkahwinan yang berlangsung pada April di wilayah Gansu, barat laut China itu mula mendapat perhatian selepas jurugambar majlis berkenaan memuat naiknya secara dalam talian.

Pengantin perempuan itu memakai tudung putih serta berpakaian tradisional keturunan etnik Hui, iaitu kaum minoriti Muslim di China.

BACA LAGI: Risiko minuman tenaga isotonik, golongan pesakit jantung berpotensi mati mengejut

BACA LAGI: Mekyun tak boleh cakap Cina? Hanya Hokkien, Mandarin tak boleh! Kenali beza dua dialek ini

Ramai pengguna media sosial menyifatkan kecantikan pengantin perempuan itu persis pelakon terkenal China, Fan Bingbing. — Agensi

Ramai terpegun dengan kecantikannya dan tertanya-tanya sama ada video tersebut adalah hasil ciptaan AI.

Tidak kurang juga yang membandingkannya dengan pelakon terkenal China, Fan Bingbing dan mendakwa pengantin itu mungkin menjalani pembedahan plastik.

Namun begitu, jurugambar yang merakam perkahwinan itu mengesahkan bahawa pengantin perempuan berusia 25 tahun tersebut adalah manusia sebenar.

Beliau menjelaskan, masyarakat Hui secara tradisinya menolak prosedur kosmetik buatan.

Tambahnya lagi, ramai ahli keluarga perempuan pengantin terlibat juga cantik semula jadi.

Beliau turut mendedahkan bahawa pengantin tersebut biasanya tidak memakai solekan kerana beliau lebih mementingkan kecantikan dalaman.

Nama pengantin perempuan itu bagaimanapun tidak didedahkan.

Sesetengah pengguna media sosial yang tidak begitu mengenali gaya hidup kaum minoriti di China mula mengenali pakaian tradisional mereka menerusi video-video tular seperti ini.

Kaum Hui berjumlah kira-kira 11.4 juta orang mengikut bancian China pada tahun 2020.

Mereka merupakan kumpulan etnik keempat terbesar di China selepas Han yang memiliki 1.29 bilion orang, mewakili 91.11 peratus penduduk Zhuang dan Uygur.

Jurugambar yang menyiarkan imej dalam talian berkata, wanita tersebut jarang bersolek kerana percaya kecantikan dalaman lebih penting. — Agensi

Kaum Hui tinggal di pelbagai kawasan di seluruh China, terutamanya di wilayah-wilayah barat laut dan tengah.

Mereka juga mempunyai wilayah autonomi sendiri iaitu Wilayah Autonomi Ningxia Hui di barat laut China.

Dikatakan bahawa nama 'Hui' berasal daripada perkataan 'Huihui', iaitu nama yang digunakan untuk merujuk kepada orang Uygur yang tinggal di China Barat semasa zaman Dinasti Song Utara (960–1127).

Menjelang zaman Dinasti Yuan (1279–1368) yang diperintah oleh bangsa Mongol, semua pendatang dari Asia Tengah dan kawasan barat yang kebanyakannya beragama Islam dikenali sebagai 'Huihui'.

“Semua pengantin memang kelihatan cantik pada hari perkahwinan mereka,” kata seorang pengguna media sosial.

“Beliau mengingatkan saya kepada ramai rakan-rakan Hui saya,” kata seorang lagi individu dari wilayah Shaanxi, barat laut China.

Kini, membandingkan wajah seseorang dengan wajah ciptaan AI menjadi satu cara baharu untuk memuji kecantikan seseorang.

Baru-baru ini, seorang gadis bisu dan pekak berusia 20 tahun dari wilayah Sichuan di barat daya China juga dikatakan mirip wajah ciptaan AI kerana kecantikannya yang dikatakan ‘luar biasa’. —  Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram