Impikan 'destination wedding'? Ini senarai kos, siapa patut bayar


  • Maya
  • Jumaat, 23 Mei 2025

Paling penting dalam etika perkahwinan destinasi ialah rasa syukur. — Gambar Hiasan

IDEA untuk mengadakan perkahwinan destinasi (perkahwinan luar negara) memang romantik dan mengujakan.

Bayangkan pantai disinari matahari, bunyi ombak yang mendamaikan dan orang tersayang berkumpul untuk meraikan hari istimewa anda.

Walaupun ia adalah impian yang menjadi kenyataan bagi ramai pasangan, perkahwinan destinasi boleh jadi agak rumit apabila melibatkan soal kewangan.

BACA LAGI: Gout penyakit 'warisan' keluarga, jangan tunggu kondisi teruk baru bertindak

BACA LAGI: Kecil tapi bahayanya besar, kanak-kanak tertelan bateri butang risiko ganggu pernafasan, hakis tisu organ

Kerumitan itu timbul selepas soal siapa bayar apa dan bagaimana untuk memudahkan urusan tetamu yang perlu mengembara ke luar negara.

Siapa yang patut bayar apa dalam perkahwinan destinasi?

Perkahwinan destinasi selalunya berlangsung lebih lama berbanding perkahwinan tradisional di negara sendiri.

Jika di United Kingdom (UK) anda hanya adakan majlis sehari, majlis di luar negara mungkin berlangsung selama 2-3 hari.

Kos tambahan seperti penginapan serta perjalanan boleh meningkat dan persoalan pun timbul siapakah yang patut tanggung semua ini?

Perlukah anda minta tetamu bayar untuk hadir ke perkahwinan destinasi?

Penting untuk anda bersikap jelas dan telus dengan para tetamu, sama ada melalui jemputan atau laman web perkahwinan.

Tetamu tidak membayar untuk majlis perkahwinan itu sendiri, tetapi mereka mungkin perlu menanggung beberapa kos untuk hadir seperti tambang penerbangan, pengangkutan dan penginapan.

Mari kita lihat satu persatu aspek penting dan siapa yang biasanya bertanggungjawab untuk menanggungnya:

Perkahwinan destinasi selalunya berlangsung lebih lama berbanding perkahwinan tradisional di negara sendiri. — Gambar Hiasan

1. Perkara Asas: Pasangan Pengantin

Pasangan pengantin biasanya akan menanggung semua kos asas perkahwinan, tidak kira di mana majlis berlangsung.

Ini termasuk pakaian pengantin, cincin kahwin dan upacara akad atau resepsi itu sendiri semua elemen penting untuk hari bahagia anda.

2. Perjalanan dan Penerbangan: Tetamu

Perbelanjaan pertama dan utama yang perlu ditanggung oleh tetamu ialah kos perjalanan ke negara lokasi majlis.

Ini termasuk tambang teksi ke lapangan terbang, kos letak kereta, tiket penerbangan pergi balik dan pengangkutan dari lapangan terbang ke hotel.

Salah satu cara pasangan boleh membantu adalah dengan menyediakan pengangkutan dari hotel tempat tetamu menginap ke lokasi majlis seperti contoh menyewa bas khas untuk bawa tetamu ke lokasi.

Ini bukan sahaja memudahkan mereka, malah meringankan beban kos mereka juga.

3. Penginapan: Biasanya Ditanggung Tetamu

Tetamu biasanya perlu bayar sendiri kos penginapan.

Sebagai pasangan pengantin, anda perlu mempertimbangkan tahap kemampuan kewangan tetamu anda.

Untuk memudahkan mereka, sediakan pilihan penginapan mengikut bajet daripada bajet rendah hingga ke yang lebih mewah.

Jika perkahwinan anda kecil dan intim atau lokasi majlis ada tempat penginapan untuk semua tetamu, anda mungkin boleh menanggung sebahagian kos atau menawarkan diskaun khas.

Tempahan berkumpulan juga boleh membantu mengurangkan kos bilik.

Sebagai pasangan pengantin, anda perlu mempertimbangkan tahap kemampuan kewangan tetamu anda. — Gambar Hiasan

4. Majlis Resepsi dan Jamuan: Pasangan Pengantin

Pasangan pengantin biasanya menanggung semua kos resepsi termasuk sewa dewan, katering dan kek kahwin.

Di sinilah anda boleh berbelanja lebih sedikit untuk menjadikan pengalaman makan malam yang unik dan berkesan untuk tetamu.

5. Hiburan dan Muzik: Pasangan Pengantin

Kos seperti DJ, kugiran atau sebarang hiburan semasa majlis resepsi ditanggung oleh pasangan.

Muzik sangat penting untuk suasana majlis, jadi pilih dengan teliti supaya tetamu anda berhibur dan majlis jadi lebih bermakna.

6. Perancang Perkahwinan: Pasangan (Tapi Pilihan)

Perancang perkahwinan tidak wajib, tetapi untuk perkahwinan destinasi, mereka boleh jadi penyelamat.

Jika anda upah seorang perancang, kos itu perlu ditanggung oleh anda berdua.

Mereka boleh bantu menyelaras segalanya dan juga bantu anda berjimat dalam jangka masa panjang.

7. Bunga dan Hiasan: Pasangan Pengantin

Kos untuk gubahan bunga dan hiasan keseluruhan majlis juga ditanggung oleh pasangan.

Berbincang dengan floris tempatan untuk pastikan cita rasa anda selari dengan bajet.

Kos boleh berbeza ikut musim, jenis bunga dan jumlah yang diperlukan.

Cari jurufoto dan juruvideo yang sesuai dengan gaya dan bajet anda. — Gambar Hiasan

8. Fotografi dan Videografi: Pasangan Pengantin

Mengabadikan detik-detik istimewa merupakan tanggungjawab pasangan.

Cari jurufoto atau juruvideo yang sesuai dengan gaya dan bajet anda.

Tempah awal dan ingat mereka tak semestinya perlu dari lokasi majlis kerana ramai jurufoto dari UK contohnya, sedia terbang ke luar negara.

9. Pengangkutan ke Lokasi Majlis: Pasangan Pengantin

Pasangan juga bertanggungjawab menguruskan pengangkutan tetamu dari hotel ke lokasi majlis.

Ini amat penting jika tetamu datang dari pelbagai lokasi, bagi memastikan mereka sampai ke tempat majlis dengan selamat dan tepat waktu.

10. Majlis Makan Malam Sambutan: Pasangan Pengantin

Sehari sebelum majlis, pasangan biasanya menganjurkan makan malam santai bersama keluarga terdekat, ahli rombongan pengantin dan teman rapat.

Ini peluang untuk berkenalan dan berterima kasih atas kehadiran mereka.

Jika anda bercadang adakan majlis seperti ‘welcome party’ atau ‘farewell brunch’, anda boleh pilih untuk menanggung kos atau minta sumbangan secara sukarela daripada tetamu.

11. Hadiah untuk Ahli Rombongan Pengantin: Tanda Penghargaan

Pasangan harus menyediakan hadiah kecil untuk menunjukkan penghargaan kepada pengapit dan ahli rombongan.

Ini adalah tanda terima kasih atas bantuan dan sokongan mereka sepanjang perjalanan majlis anda.

12. Penghargaan untuk Tetamu: Kenang Jasa Mereka

Walaupun tetamu membayar sendiri kos perjalanan dan penginapan, adalah satu tanda yang baik jika anda sebagai tuan rumah menunjukkan penghargaan.

Sediakan beg cenderamata sambutan atau majlis ringkas sebagai tanda terima kasih atas usaha mereka hadir.

Komunikasi Adalah Kunci

Untuk elakkan kekeliruan dan rasa tidak selesa, penting untuk anda berkomunikasi secara jelas tentang apa yang perlu serta tidak perlu dibayar oleh tetamu.

Ini membantu mereka membuat persediaan awal dan hadir dengan hati yang tenang.

Kesyukuran Adalah Etika Paling Utama

Apa yang paling penting dalam etika perkahwinan destinasi ialah rasa syukur.

Tetamu anda telah bersusah payah untuk bersama anda, mungkin datang dari jauh.

Hargai kehadiran mereka dan jadikan pengalaman itu sesuatu yang manis serta berkesan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram