
SELEPAS 10 tahun tragedi gempa bumi di Gunung Kinabalu yang mengorbankan 10 rakyat Singapura, seorang wanita akhirnya menawan puncak gunung itu demi mengenang adik tersayang.
Kakak kepada mendiang Navdeep Singh Jaryal, Simran Jaryal berjaya menamatkan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu baru-baru ini.
Pendakian itu dilakukan khas untuk mengenang Navdeep yang terkorban dalam gempa bumi 2015 ketika berusia 13 tahun.
Navdeep merupakan salah seorang daripada tujuh murid Tanjong Katong Primary School, Singapura yang maut bersama guru dan malim gunung tempatan ketika menyertai ekspedisi sekolah ke Kinabalu.
Dalam satu hantaran menyentuh hati di laman rasmi Facebook Gunung Kinabalu, Simran berkongsi kisah pendakiannya dan betapa mendalam kasih sayangnya terhadap adik yang tidak sempat menawan puncak itu.
"Mencapai puncak Gunung Kinabalu adalah salah satu pengalaman paling emosional dalam hidup saya.
"Pendakian ini penuh dengan cabaran fizikal, renungan yang mendalam dan cinta yang luar biasa. Setiap langkah saya membawa ingatan abang saya, Navdeep. Ketawanya, keberaniannya dan semangatnya yang kuat," katanya.
Simran menggambarkan Navdeep sebagai seorang yang lucu dan bijak berkata-kata.
Katanya, adiknya sangat teruja menyertai ekspedisi itu dan telah berlatih dengan bersungguh-sungguh.
“Dia sangat berbangga kerana terpilih. Walaupun dia tak sempat sampai ke puncak, semangatnya bersama saya sepanjang perjalanan,” tulisnya lagi.
Simran turut berkongsi detik-detik emosi semasa pendakian terutamanya ketika laluan menjadi sukar.
Namun, dia tetap teruskan dengan kekuatan yang datang daripada kenangan bersama adik tersayang.
"Saya merasakan tenaganya di udara gunung, dalam semangat mereka yang mendaki bersama saya dan dalam saat-saat saya hampir putus asa," katanya.
Menurut Simran, pendakian itu bukan hanya untuk dirinya tetapi untuk Navdeep dan semua rakan-rakannya yang terkorban.
Tambahnya lagi, sokongan keluarga dan rakan-rakan banyak membantunya meneruskan langkah.
"Mereka mengingatkan saya bahawa kasih dan rindu selalunya berjalan seiring," katanya.
Dalam gambar yang dikongsikan, Simran kelihatan berdiri di puncak gunung dengan wajah tenang sambil memeluk gambar Navdeep.
"Saya sampai ke puncak bukan seorang diri tetapi bersama Navdeep di hati saya. Pendakian ini adalah penghormatan untuk ingatannya, keberaniannya dan kegembiraan yang dibawanya dalam hidup kami.
"Dia mungkin tidak sampai ke puncak secara fizikal, tetapi jiwanya hidup dalam setiap matahari terbit di Kinabalu.
"Rindu selamanya. Selamanya dicintai," kata Simran. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram