Busana pengantin tak jadi, gaun 'roti tisu' antara momen fesyen 'cringe' barisan selebriti ini


  • Gaya
  • Khamis, 22 Mei 2025

(Dari kiri) Dina, Sarah dan Ezzaty masing-masing mempunyai momen fesyen yang dianggap janggal atau mendapat kritikan. —  Instagram selebriti

SETIAP orang pasti ada satu atau dua gambar lama yang disimpan di dalam galeri, bukan kerana kenangan indah, tetapi kerana gaya penampilan yang kini dianggap tidak masuk akal.

Masa berubah, begitu juga cita rasa.

Apa yang dulu dianggap ‘trendy’ atau ‘stylo’ mungkin kini membuatkan kita menepuk dahi sendiri.

Fenomena ini bukan hanya berlaku kepada orang biasa, bahkan selebriti turut tidak terkecuali.

BACA LAGI: Cantik sempurna hingga dianggap AI, pengantin berhijab dari etnik Muslim di China raih tumpuan warga maya

BACA LAGI: Mekyun tak boleh cakap Cina? Hanya Hokkien, Mandarin tak boleh! Kenali beza dua dialek ini

Menurut Dina, gayanya ini merupakan titik perubahan beliau untuk lebih berhati-hati dalam menyesuaikan penampilan mengikut majlis. — Facebook/Dina Nadzir

Kepada Majoriti empat figura popular tanah air berkongsi momen fesyen masa lalu yang kini mereka anggap sebagai ‘pelik’, tersasar tema atau lebih tepat ‘cringe’.

Penyanyi dan penyampai radio, Dina Nadzir atau nama sebenarnya Faradina Mohd Nadzir, mengimbau detik awal kemunculan dalam industri hiburan pada usia 19 tahun.

Bagi wanita berusia 40 tahun itu, momen paling meninggalkan kesan bukan pada busananya, tetapi pada gaya rambut cornrow yang ketika itu menjadi kegilaan ramai.

“Dina pernah ada satu era sangat suka buat cornrow. Tapi waktu itu, saya kena menyanyi lagu balada. Gaya saya pula macam nak buat persembahan hip-hop.

Dari situ saya sedar, okey Farah Dina, lain kali hati-hati sikit apabila pilih gaya,” katanya sambil ketawa.

Gaun pengantin Ezzaty dianggap tidak menjadi seperti rekaan asal kerana kombinasi biru dan merah jambu kelihatan pelik. — Media sosial

Sementara itu, pelakon Ezzaty Abdullah, 35, tidak menyesali sebarang penampilan di karpet merah, malah menganggap semua busana itu masih memukau.

Namun, beliau mengakui ada gambar-gambar lama dari zaman belajar yang membuatkan dirinya tertanya-tanya apa yang beliau fikir ketika itu.

Paling diingati adalah baju pengantinnya yang menjadi bualan kerana kombinasi warna biru dan merah jambu yang tidak menjadi seperti rekaan asal.

“Saya bagi gambar rujukan, tapi hasil akhir dia lain. Masa siap tu, rasa okey je. Tapi bila tengok balik gambar sekarang, saya pun terfikir, pelik juga sebenarnya. Tapi dah siap, pakai je lah,” katanya jujur.

Gaun Sarah pada malam AJL ke-33 menerima kritikan dan dianggap 'buruk'. — Instagram/@sarahsuhairi

Penyanyi muda Sarah Suhairi, 24, pula mengimbas kenangan mengenakan gaun fluffy pada malam Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL).

"Sarah minta pereka buat baju yang patuh syariah untuk senang pakai dan bergerak. Bagi Sarah baju itu sangat cantik tetapi pada mata orang ia mungkin nampak pelik.

"Sebenarnya nak buat gaya half-bow tapi ada orang kata macam roti tisu, macam muscle pun ada. Ada juga yang berseloroh menganggap Sarah tidak cabut penggantung baju," katanya sambil mengakui mereka guna penyembur rambut agar bentuk baju kekal ‘kembang’.

Bagi Zoey, trend 'skinny jeans' yang dahulu popular kini disifatkan 'cringe'. — Instagram selebriti/Budiey.com

Pelakon dan pengacara Zoey Rahman, 40, turut berkongsi fasa ‘fesyen tidak masuk akal’ yang dilaluinya.

Katanya, dahulu beliau gemar mengenakan pakaian yang sangat ketat dan hingga kini beliau masih mempersoal detik itu.

“Sekarang tengok balik gambar lama, saya pun rasa kenapalah pakai ketat sangat. Tapi itulah, zaman berubah. Sekarang saya lebih suka pakaian longgar dan selesa.

"Yang penting kita yakin dan selesa dengan diri sendiri,” ujarnya.

Walau apapun gaya mereka suatu ketika dahulu, yang pasti adalah setiap detik itu membentuk identiti dan perjalanan fesyen masing-masing.

Jika tidak kerana ‘kesilapan’ lama, maka tidak terhasillah gaya yang lebih matang hari ini. —  Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram