Air mata tumpah saat mohon restu ibu, Luna Maya akhiri zaman bujang bersama Maxime Bouttier


  • Hiburan
  • Selasa, 06 Mei 2025

Luna Maya tidak dapat menahan air mata ketika majlis memohon restu daripada ibunya. — Agensi

SUASANA penuh emosi menyelimuti majlis bersiram selebriti kelahiran Indonesia, Luna Maya menjelang perkahwinannya dengan aktor, Maxime Bouttier, 31, yang dijadualkan berlangsung di Bali pada Rabu.

Di hadapan ahli keluarga dan tetamu terdekat, aktres popular berusia 41 tahun itu tidak dapat menahan air mata ketika memohon restu daripada ibunya, Desa Maya Waltaurd Maiyer.

Majlis yang sarat dengan adat Jawa itu disiarkan menerusi saluran YouTube rasmi Luna Maya pada pukul 8 pagi (waktu tempatan), menyaksikan Luna mengenakan kebaya putih elegan yang dipadankan dengan kain batik merah jambu. Beliau diiringi dua adik lelakinya, Tipi Jabrik dan Ismael Dully, ketika memasuki kawasan perarakan yang dihiasi indah dengan bunga pastel.

BACA LAGI: Filem kedua Indonesia lepas Lembayung, Anna Jobling 'dicop' jelmaan Raja Ema di negara jiran

BACA LAGI: Suami pelakon jelita Indonesia, Pevita Pearce rupanya anak usahawan tersohor Malaysia

 

 

Suasana menjadi semakin syahdu apabila Luna Maya Maya meluahkan penghargaan kepada ibu bapanya atas segala kasih sayang dan bimbingan sedari kecil.

“Ibu yang dikasihi dan dihormati, ini adalah hari bahagia saya. Tiada kata sempurna yang dapat menggambarkan kesyukuran saya.

“Saya memohon maaf atas segala kesilapan sama ada secara sengaja atau tidak.

"Saya benar-benar berharap ibu dapat memaafkan saya dan merestui perkahwinan bersama Maxime Andre Selam Bouttier,” katanya dengan linangan air mata.

Luna Maya kemudian mencium tangan dan kaki ibunya sebelum berpelukan erat bersama dua adiknya.

Usai sesi sungkeman (mohon restu dan keampunan), Luna Maya menukar pakaian dan mengenakan kalungan bunga melati.

Beliau kemudian menjalani ritual siraman menggunakan air bunga yang berasal daripada tujuh sumber simbolik.

Tujuh air tersebut adalah dari kediaman Luna Maya di Jakarta, pejabat Travel Secrets Jakarta, kediaman datuk sebelah arwah bapanya, rumah ibunya di Bali, Masjid Al Azhar Jakarta, lokasi akad nikah di Como Shambhala Estate Bali dan juga air zamzam.

Ibunya menjadi individu pertama yang menyiramkan air ke tubuh Luna Maya, disusuli ahli keluarga yang lain. Wajah Luna tampak tenang dan berseri-seri sepanjang ritual berlangsung.

Majlis perkahwinan pasangan itu dijangka menjadi antara acara dinanti-nantikan oleh peminat industri hiburan Indonesia. — Instagram/lunamaya

Dalam masa sama, Maxime Bouttier turut menyertai siri acara siraman tersebut sebagai tanda penghormatan terhadap budaya dan tradisi yang dipegang.

Pasangan itu mengungkapkan rasa syukur dan penghargaan atas doa serta sokongan diterima daripada orang ramai.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih yang tulus atas semua kasih sayang, perhatian dan harapan baik yang telah mengalir sepanjang perayaan pernikahan kami di Bali,” ujar mereka dalam satu kenyataan bersama pada Selasa.

Mereka turut memohon maaf kerana tidak dapat menjemput semua pihak secara langsung atas sebab ingin mengekalkan suasana intim bersama keluarga terdekat.

Luna Maya dan Maxime Bouttier dijadualkan melangsungkan majlis akad nikah pada Rabu dalam suasana eksklusif di Bali.

Pasangan itu berjanji akan berkongsi lebih banyak maklumat kepada umum dan media selepas seluruh siri perkahwinan selesai berlangsung. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram