Bukan soal 'tolong koyakkan sos', ia tentang kewajiban lelaki dan wanita untuk jaga ikhtilat


  • Cinta
  • Selasa, 20 Mei 2025

Tangkap layar memaparkan hantaran individu berkenaan mengenai topik hubungan suami isteri.

PANDANGAN disuarakan seorang individu mengenai topik hubungan suami isteri baru-baru ini telah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warga maya.

Isu yang menyentuh soal layanan isteri terhadap suami itu menerima pelbagai reaksi, termasuk sokongan, kritikan dan juga teguran.

Memberi contoh situasi yang biasa berlaku di tempat kerja, individu tersebut berkata, isteri yang tidak melayan suami akan kalah dengan wanita yang pandai melayan lelaki di luar.

BACA LAGI: Suami pandai 'tipu sunat' tak bandingkan kami, jaga hati saya dan madu — Ezlynn

BACA LAGI: 'Cinta tak selalu hadir melalui kata-kata,' layanan konsisten arwah suami suburi kenangan sewaktu bersama

"Contohnya mereka pergi makan tengah hari bersama di pejabat. Wanita tersebut tolong koyakkan sos dan tuangkan di atas burger. Hati-hati, lama kelamaan suamimu akan tewas," tulisnya di aplikasi Thread baru-baru ini.

Beliau menegaskan, meskipun perkara itu nampak kecil dan remeh, namun ia memberi impak besar kepada emosi seorang lelaki. 

Ujarnya, layanan sebegitu dikatakan mampu membuat suami berasa dihargai dan lebih menyayangi isteri.

“Layanlah suami walaupun kamu rasa ia sekecil-kecil perkara, tetapi ia akan buat suamimu rasa dihargai dan mereka akan lebih menyayangi isteri,” katanya lagi.

Pandangan itu mendapat reaksi pelbagai daripada netizen. Ada yang bersetuju bahawa layanan kecil dan perhatian dalam rumah tangga boleh mengukuhkan hubungan suami isteri. 

Seorang pengguna aplikasi Thread dengan nama akaun nabilahalwie berpendapat, perbincangan mengenai isu tersebut tidak seharusnya terhenti pada perlakuan kecil seperti mengoyak bungkusan sos, sebaliknya perlu difahami dalam konteks lebih besar.

Jelasnya, ia melibatkan adab menjaga batas pergaulan antara lelaki dan wanita bukan mahram.

"Ini bukan soal koyak sos. Ini tentang kewajiban lelaki dan perempuan untuk menjaga ikhtilat, tak melayan dan berhubung hanya bila perlu (kerja, darurat). 

"Kalau dua-dua jenis menjaga, tidak akan ada adegan seperti koyak sos contohnya. Itu sahaja. Usahlah diperbesar isu begini," ujarnya.

Namun tidak kurang juga yang berpendapat bahawa kesetiaan tidak seharusnya bergantung kepada layanan kecil semata-mata.

“Kalau setakat koyak sos pun dah buat suami goyang, itu bukan salah isteri. Itu salah suami yang tak kuat iman,” komen Julianachu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram