Berkat berhenti kerja di Jepun demi jaga arwah ibu uzur, bisnes bekas jurutera makin 'harum mewangi' bersama Mamiru Kaori


  • Bizz
  • Sabtu, 24 Mei 2025

Amir memulakan perniagaan minyak wangi pada November 2023.

SELEPAS hampir satu dekad meninggalkan kerjaya sebagai jurutera, Mohd Amiruddin Ahmad Moktar tidak menyangka bahawa jalan hidupnya akan membawanya ke dunia keusahawanan, dengan minyak wangi sebagai produk utamanya.

Dilancarkan pada November 2023, jenama Mamiru Kaori lahir bukan sekadar dari impian bisnes semata-mata, sebaliknya daripada keperluan mendesak, pengorbanan keluarga dan minat mendalam terhadap haruman yang tumbuh sejak zaman mudanya.

“Saya memang minat perfume. Kalau ke mana-mana, mesti beli. Jadi bila fikir nak mula bisnes, saya keluarkan apa yang saya suka,” katanya yang lebih mesra disapa Amir kepada Majoriti.

BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal

BACA LAGI: 'Yuna peminat Liverpool', tak sampai setahun beroperasi, pasangan suami isteri di Klang pendam impian mahu setanding syarikat jersi di UK

Berhenti kerja

Sebelum bergelar usahawan, kisah Amir terlebih dahulu pernah tular selepas layanan yang diberikannya ketika menjaga ibunya yang sakit.

Pada 2015, graduan kejuruteraan dari Jepun membuat keputusan meninggalkan pekerjaan tetapnya bagi menjaga kesihatan ibunya yang merosot.

Sebelum itu, Amir turut berdepan kehilangan besar sebaik beliau menamatkan pengajian dan pulang ke tanah air pada 2011 apabila ayahnya meninggal dunia pada tahun sama.

"Saya pulang ke Malaysia Mac 2011 dan November tahun sama, ayah meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru," kongsinya.

Pemergian ayahnya itu ternyata memberi kesan besar ibunya, Latipah Ibrahim apabila kesihatannya terus merosot.

Disebabkan itu, beliau yang berasal dari Pendang, Kedah memilih membawa ibu tercinta menetap bersama di Kuala Lumpur.

Amir (kanan) ketika membawa ibunya menunaikan umrah.

Sepanjang tempoh tersebut, Amir berkata, beliau perlu menanggung perbelanjaan yang tinggi khususnya bagi menampung kos rawatan ibunya.

Namun, itu sama sekali tidak mematahkan semangatnya dengan beliau tetap cuba mendapatkan pendapatan secara sambilan sebagai penjual insurans.

“Saya memang tak sempat ambil insurans untuk mak. Jadi semua rawatan di hospital swasta, saya tanggung sendiri.

"Saya pilih hospital swasta sebab nak pastikan ibu dapat rawatan yang selesa,” ujarnya yang dianggar membelanjakan lebih RM200,000 bagi kos rawatan berkenaan.

Di samping itu, beliau turut mengambil pembantu rumah bagi membantu penjagaan ibunya di rumah.

Jaga ibu uzur sambil bangun perniagaan

Amir aktif membuat siaran langsung di TikTok bagi memperkenalkan produk wangiannya.

Bagaimanapun, menyedari mengenai keperluan menambahkan pendapatan bagi meneruskan kehidupan, Amir kemudiannya memulakan perniagaan jualan minyak wangi di bawah jenama Mamiru Kaori.

Langkah itu dimulakan dengan menggunakan modal kira-kira RM20,000 bersama seorang rakan kongsinya, Mohd Fakruazwary Mohd Daud, 42.

Tanpa kedai mahupun premis perniagaan, kedua-dua mereka mengorak langkah pertama dengan berjualan melalui platform TikTok pada November 2023.

“Mula-mula memang susah. Live pun cuma 5 hingga 10 orang tengok dan kami buat sampai 2 hingga 3 pagi.

"Tapi kami teruskan juga. Konsisten,” katanya yang ketika itu masih menjaga ibunya yang kemudiannya disahkan menghidap barah anemia dan ketumbuhan otak pada Mei 2023. 

“Motivasi saya ialah mak. Saya takut saya tak sempat beri yang terbaik untuk dia.”

Ibu Amir meninggal dunia pada 24 November 2024.

Bagaimanapun, kesibukan membina perniagaan tersebut sama sekali tidak menyebabkan beliau lupa untuk menunaikan tanggungjawab menjaga ibunya.

"Saya ada pembantu rumah, tapi saya tetap uruskan banyak hal sendiri sebab ibu lebih selesa dengan saya. 

"Kalau saya keluar pun, cuma untuk jumpa supplier. Saya buat live depan mak saya, dekat meja makan. 

"Lepas tu sarapan sama-sama, kemudian saya sambung kerja. Jadi, masa itu,jadual saya memang banyak di rumah," kongsinya yang menguruskan bahagian pemasaran dan jualan.

Selepas bertahun-tahun berdepan dengan isu kesihatan, ibu Amir menghembuskan nafas terakhir pada 24 November tahun lalu.

Mamiru Kaori

Mamiru Kaori kini mempunyai 16 pilihan wangian.

Walaupun ibunya telah pergi, semangat pengorbanan yang dilakukan terus menjadi tunjang motivasi Amir untuk terus maju dalam perniagaannya.

Bermula dengan lima jenis bauan, pilihan wangian Mamiru Kaori kini sudah bertambah kepada 16 pilihan.

Malah, kini mereka juga berjaya mencapai jualan melebihi 1,000 botol sebulan dengan pendapatan mencecah sehingga RM60,000.

Amir berkata, meskipun dijual pada harga mampu milik, mereka sama sekali tidak berkompromi soal kualiti dengan ciri-ciri bauan tahan lebih 12 dan turut mesra untuk kegunaan pengguna beragama Islam yang ingin solat.

"Kami fokus pada kualiti dan pilihn bau yang eksklusif. Begitu juga dengan pembungkusan dan botol.

"Sebab itu ramai pelanggan yang ulang beli dan setiap kali live pun kami dapat pelanggan baharu," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram