SELEPAS dua tahun hidup berpoligami, sikap dan layanan suami penyanyi Ezlynn, Wan Mohd Hafizam menjadi punca dia tidak kisah untuk bermadu dan menganggap kehidupan bermadu sebagai satu perkara yang indah.
Sebagai isteri pertama, Ezlynn berkata, banyak kriteria suaminya yang berjaya memikat hatinya untuk terus buat yang terbaik di dalam kehidupan rumah tangganya sekarang.
"Sebab saya doa untuk memperoleh syurga tertinggi jadi saya kena hadap apapun ujian di dunia ini dengan sebaiknya. Saya anggap kehidupan rumah tangga sebagai ujian untuk ke sana (akhirat).
"Kalau kita doa syurga tertinggi, tetapi ujian sedikit kita tak mahu, susahlahkan?," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Pernah cetus kontroversi di Indonesia, Dua Surga Dalam Cintaku rungkai kemanisan poligami
BACA LAGI: Tak terlintas berhenti menyanyi, Naufal Azrin hanya serik jumpa orang jenis 'rembat duit'
Ezlynn bahagia dalam perkahwinannya yang sudah memasuki tahun ketiga.
Antara kriteria suaminya yang menurutnya perlu ada bagi pasangan lain yang mahu berpoligami adalah apabila suaminya pintar untuk menjaga perasaan bagi mengelak dia dan madunya terluka.
"Suami saya pandai tipu sunat. Contohnya, waktu awal-awal dia mahu berkahwin kali kedua, saya bertanya adakah saya tak cantik, tak bagus dan sebagainya.
"Tetapi dia comfort dengan gunakan kata-kata. Dia cakap dekat saya, no sayang... Awak sempurna, awak cantik tiada kekurangan," katanya.
Jadi, penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye itu menganggap perkahwinan kedua yang terjalin adalah disebabkan satu fitrah bagi seorang lelaki yang menyukai wanita.
Tidak hanya itu, penyanyi berusia 42 tahun itu juga beranggapan suaminya mampu menggalas tanggungjawab yang baik bagi rumah tangga yang sudah dibina kira-kira selama tiga tahun.
"Saya tak pandai memasak, tidak pandai mengemas rumah. Semua itu suami yang buatkan untuk saya.
"Pagi-pagi dia sudah masakkan saya. Jadi, saya tak kisah jika dia mahu berkahwin dengan orang lain kerana saya tahu dia mampu untuk jalankan tanggungjawab dengan baik," katanya.
Sebelum ini, selepas setahun mendirikan rumah tangga, suaminya, Wan Mohd berkahwin dengan seorang doktor berusia 26 tahun di Perlis pada Mac 2022.
Mengulas lanjut, pemilik nama sebenar Azline Ariffin itu bersyukur apabila dikurniakan seorang madu yang disifatkan sebagai seorang yang baik hati dan pintar memasak.
"Walaupun isteri kedua pandai memasak, suami saya tidak membandingkan kami dan pandai memainkan peranan itu membahagiakan rumah tangga kami," katanya.
Terdahulu pada Selasa malam, Ezlyyn hadir di One Utama, Petaling Jaya, Selangor bagi mempromosikan filem Dua Surga Dalam Cintaku.
Filem berkenaan berkisarkan tentang kemanisan kehidupan rumah tangga berpoligami yang disifatkan sebagai satu sudut yang jarang ketahui ramai orang.
Ezlynn sebelum ini pernah berkahwin dengan bekas pengurus peribadinya, Adam Fahmy pada 20 November 2011, namun mereka bercerai lima tahun kemudian.
Ezlynn kemudian berkahwin dengan Wan Mohd Hafizam yang juga penderma hati pertama negara pada 11 September 2021.
Untuk pengetahuan, Ezlynn dan suaminya, Wan telah bernikah pada tahun 2021 secara atas talian.
Dalam pada itu, pelakon utama yang menjadi isteri pertama bagi filem tersebut, Keira Shabira mengaku bukan terdiri daripada individu yang menyokong kehidupan berpoligami.
Bertanya soal kesukarannya membawa watak yang tidak disukai itu, Keira berkata banyak sudut yang mendorongnya menerima tawaran sebagai isteri pertama.
"Sebabnya filem ini bukan poligami yang terjalin sebab nafsu. Isteri pertama dalam filem ini dah kena sakit kanser itunya dia mahu agar suami bahagia lepas ketiadaannya," katanya.
Malah, penggambaran filem itu yang dibuat ditanah suci mendorong Keira menerima tawaran memainkan watak sebagai Husna.
Filem itu dibintangi pelakon hebat drama sinetron seperti Yuki Kato, Aliff Alli, Keira Shabira, Early Ashyla, Iwan Burnani, Ivanka Suwandi, Azza Galedda, Nurul Anissa Hasanah, Cahya Arynahara, Irza Mahatir, Yugo Werner dan Edy Tambudo.
"Memang saya rezeki dapat buat shooting di tanah suci," katanya.. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram