SEORANG pekerja pembersihan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun pada pagi sambutan perayaan Krismas lalu.
Muhammad Ikmal Mansor, 29, didakwa membuka zip seluarnya di hadapan mangsa kira-kira pukul 11.30 pagi, 25 Disember lalu di tepi tangga tingkat dua, sebuah projek perumahan rakyat (PPR) di Cheras.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
BACA LAGI: Dijel 14 bulan laku kelucahan melampau, PU Azman mohon maaf kepada pengadu, kerajaan dan polis
BACA LAGI: Peguambela PU Azman mohon Jabatan Peguam Negara semak semula tuduhan serangan seksual
Timbalan Pendakwa Raya Atiqa Nazihah Azmi tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan tersebut tidak boleh dijamin secara automatik, tetapi mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin jika mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkannya.
"Selain itu, pihak kami mohon syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan keluarganya kerana mereka tinggal di PPR yang sama,” katanya.
Peguam Mohamad Zaidi Othman yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang hanya bekerja sebagai pengangkut sampah akan berkahwin pada Februari depan manakala ibunya menghidap kanser payu dara dan baru sahaja menjalani pembedahan.
Hakim Mohd Kafli Che Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 13 Februari tahun depan untuk sebutan kes. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram