Dijel 14 bulan laku kelucahan melampau, PU Azman mohon maaf kepada pengadu, kerajaan dan polis


Pendakwah selebriti yang berusia 43 tahun itu mengaku bersalah atas tuduhan dibacakan terhadapnya.

PENDAKWAH selebriti, Azman Syah Alias dihukum penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Klang, Selangor pada Jumaat selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki pada 2022.

Tertuduh yang juga sinonim dengan panggilan PU Azman membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid selepas representasi dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara diterima bagi menukar pengakuan sebelum ini yang mengaku tidak bersalah.

Representasi berkenaan dikemukakan Azman Syah pada Oktober lepas dan diterima Jabatan Peguam Negara pada awal November.

BACA LAGI: Peguambela PU Azman mohon Jabatan Peguam Negara semak semula tuduhan serangan seksual

BACA LAGI: PU Azman dituduh kali ke-10 kes amang seksual

Azman Syah didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek, Klang, Selangor pada pukul 9.15 malam 10 Jun, dua tahun lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun sekiranya disabitkan kesalahan.

1773840

PU Azman sebelum ini sudah dikenakan hukuman penjara 24 tahun atas kes gangguan seksual yang berbeza.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi dan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Syuhada Rosli manakala Azman Syah diwakili Peguam Fahmi Adilah.

Fahmi dalam rayuannya memohon hukuman ringan terhadap anak guamnya selain memaklumkan pengakuan bersalah itu didorong faktor keinsafan dan menyesal atas perbuatan berkenaan selain tertuduh berjanji kepada mahkamah untuk menjadi seorang warganegara yang baik dan berguna.

"Anak guam saya juga memohon maaf kepada pengadu (mangsa) yang terlibat dan kerajaan Malaysia, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta mahkamah yang mulia ini kerana mengambil masa ketika perbicaraan berlangsung (sebelum representasi diterima Jabatan Peguam Negara)," katanya.

Rasyidah sebaliknya menegaskan sebagai seorang pendakwah selebriti, perkara itu tidak sepatutnya dilakukan terhadap pengadu yang ketika itu masih berusia 18 tahun selain pengakuan bersalah bukan faktor yang patut diambil kira oleh mahkamah untuk memberikan 'diskaun' terhadap hukuman.

"Pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi juga terhadap masyarakat sejagat secara amnya," katanya.

Sebelum ini, Azman Syah diperintahkan menjalani hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Klang selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun pada 27 September lalu. — The Star/R SEKARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram