KIRA-KIRA setahun lalu, ibu tunggal, Amida Sd Mohammad Abdullah mula membakar roti, kek dan biskut untuk menyara keluarganya.
Jualan makanannya terjual dengan sangat baik sehingga dia bergelut untuk memenuhi permintaan.
Apabila mengetahui situasi dihadapi Amida, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Agama Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim bertindak menyediakan mesin ketuhar, pembancuh, pengisar dan pengukus baharu untuk membolehkan wanita itu meningkatkan operasi di rumahnya di Jelutong, Pulau Pinang.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Sokongan diberikan itu membuatkan Amida lebih teruja dan bercadang untuk mengambil lebih banyak tempahan terutamanya untuk signatur jualan makanannya iaitu Apam Red Velvet pada sambutan Aidilfitri tahun depan.
“Saya kini boleh meningkatkan perniagaan kuih dan kek. Saya juga rasa keyakinan semakin tinggi untuk meningkatkan kehidupan menyediakan masa depan lebih baik untuk anak-anak perempuan saya,” katanya.
Amida (kiri) menerima peralatan membakar daripada Siew Khim di pusat servis alatan itu di Jalan Ahmad Nor, Jelutong.
Amida merupakan antara mangsa keganasan rumah tangga yang berjaya diselamatkan.
Walaupun mengalami kecederaan saraf tunjang serius yang menyebabkan dia tidak boleh duduk atau berdiri untuk tempoh yang lama atau mengangkat barang berat, dia tetap tabah dengan dugaan yang berlaku..
Pada waktu ini, anak perempuan sulungnya sedang melanjutkan pengajian di universiti manakala anak bongsunya, 15, sentiasa berada untuk membantunya memasak dan tugasan lain.
Dalam pada itu, Amida juga berkongsikan hasratnya kembali berbakti kepada masyarakat.
"Saya mahu membantu ibu tunggal lain yang telah menghadapi perjuangan yang sama seperti yang saya lakukan," katanya.
Mahu lari selama-lamanya
Chan Ai Tee beberapa kali cuba untuk melarikan diri daripada keganasan dilakukan suaminya selepas anak ketiganya dilahirkan pada 2010.
Bagaimanapun, ketika tempoh tersebut, dia akan kembali semula ke rumahnya kerana mengingatkan anak-anaknya dan hanya mampu berharap keadaan akan bertambah baik.
Pada satu waktu, Ai Tee membuat keputusan untuk lari buat selama-lamanya sejauh ke Cameron Highlands.
Namun, usaha itu berdepan kesukaran kerana suaminya bertindak untuk mengejarnya.
Ekoran daripada itu, seorang doktor merujuk Chan ke Pusat Perubahan Wanita (WCC) di Pulau Pinang.
Di situ, dia bertemu Siew Khim, yang menyewakan rumah untuknya dan menampung perbelanjaan bagi yuran sekolah dan tuisyen anak-anaknya.
Hasil daripada sokongan diberikan Siew Khim, Chan mendapat kekuatan untuk membina semula hidupnya.
Ai Teee kemudianya mengambil alih perniagaan makanan kakaknya di George Town, menjual makanan goreng seperti lumpia dan pisang goreng.
Kini, dia juga berasa yakin dengan kemampuannya untuk menyara keluarganya.
Hajar (dua dari kiri) menyediakan biskut raya di PPR Jalan Sungai Pinang di George Town.
“Anak-anak saya sudah besar sekarang, jadi saya tidak risau seperti dulu.
“Saya akhirnya dapat hidup dengan tenang,” kata Ai Tee, yang tiga anaknya masing-masing berusia 19, 17 dan 14 tahun.
Berjuang demi anak
Hajar Babjan, ibu kepada lima anak, telah menjadi ibu tunggal sejak 25 tahun lalu.
Enam tahun lalu, dia berpindah ke flat perumahan awam PPR Jalan Sungai dan mendaftar dalam program latihan di kedai roti yang diwujudkan Siew Khim di tingkat bawah.
“Sebahagian daripada kami diajar membuat roti dengan inti seperti hot dog dan isi kacang merah.
“Ketika itu saya hanya menjual beberapa kuih dan tidak mendapat hasil yang banyak.
"Apabila anak kedua saya disahkan menghidap masalah buah pinggang dan memerlukan dialisis tiga kali seminggu, kos mingguan sebanyak RM280 cukup membebankan," kata Hajar, yang anaknya berusia antara 28 dan 43 tahun.
Namun, Hajar bersyukur kerana berpeluang menggunakan kedai roti itu untuk membakar roti dan membuat kuih.
Dengan sokongan Siew Khim, dia dapat menjual kuih di acara dan majlis anjuran kerajaan negeri, sekali gus memberikannya peningkatan pendapatan amat diperlukan.
“Saya juga bernasib baik mendapat tender untuk mengendalikan kantin sekolah, tempat saya menjual kuih selain makanan dan minuman,” kata Hajar.
Hajar bukan sahaja menambah pendapatan melalui baking malah mencari jalan mengimbangi kerja dengan menjaga keluarga terutama anaknya yang sakit.
Dalam pada itu, Siew Khim berkata ibu tunggal kini boleh terlibat dalam program yang lebih meluas seperti Program Pementoran Usahawan Wanita Pulau Pinang dan Wanita Jana Rezeki.
Ai Tee sedang menggoreng hidangan kuih di gerainya di Jalan Van Praagh, Pulau Pinang.
Inisiatif itu menggalakkan ibu tunggal meneroka peluang keusahawanan, dengan pertubuhan bukan kerajaan turut terlibat untuk membantu mengintegrasikan mereka ke dalam inisiatif ini.
Di kawasannya, Siew Khim telah menyediakan bantuan kewangan kepada ibu tunggal untuk membantu mereka memulakan perniagaan kecil.
Ini termasuk membekalkan bahan mentah dan peralatan memasak, yang secara signifikan membantu mereka yang ingin memperoleh kebebasan kewangan melalui keusahawanan.
Siew Khim berkata program persekutuan seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Jabatan Kemajuan Wanita (JPW) turut memainkan peranan penting dalam memperkasakan ibu tunggal di Pulau Pinang.
Pada masa sama, beliau turut menggalakkan mangsa keganasan rumah tangga untuk mendapatkan sokongan melalui Pusat Khidmat Wanita (PPW) yang merupakan kerjasama antara WCC dan kerajaan Pulau Pinang.
PPW menyediakan bantuan kepada wanita dan kanak-kanak dalam krisis, menawarkan sumber dan bimbingan.
Ia juga berfungsi untuk meningkatkan kesedaran tentang keganasan terhadap wanita di Pulau Pinang dan negeri-negeri utara.
"Inisiatif ini memainkan peranan penting dalam menyediakan ruang selamat untuk mangsa dan memastikan mereka menerima bantuan yang mereka perlukan untuk membina semula kehidupan mereka," kata Siew Khim. — The Star/
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram