
TAHUN 2025 menandakan kebangkitan semula permaidani, tetapi kali ini dengan gaya lebih moden sentuhan semula jadi dan elegan.
Daripada fabrik sintetik yang dulu mendominasi pasaran, kini tumpuan beralih kepada permaidani serat semula jadi.
Bahkan, warna-warna bumi dan tekstur lembut bagi menambah kehangatan tanpa membebankan ruang.
Pereka dalaman memilih bahan seperti 'wool', jut dan sisal kerana ketahanannya, keindahan semula jadi serta impak mesra alam.
Menurut pereka dalaman, trend itu selari dengan arus reka bentuk lebih mesra pengguna ruang yang selesa, menyenangkan dan terasa hidup, tetapi tetap bergaya.
Berikut merupakan enam trend permaidani paling hangat yang akan mentransformasi suasana kediaman:
Permaidani sisal beri elemen 'hidup' pada lantai sambil kekal moden dan ringkas.
1. Permaidani sisal bubbleweave
Siapa sangka, gaya klasik kembali jadi pilihan! Permaidani sisal dengan corak bubbleweave kembali menjadi perhatian.
Menurut arkitek dalaman dan pengasas Anva Studio, Alyssa Anselmo tekstur anyaman tinggi memberi elemen hidup pada lantai sambil kekal moden dan ringkas.
Ia sangat sesuai untuk ruang kegunaan harian seperti lorong dan ruang tamu kerana tahan lasak, namun tetap bergaya.
"Sisal memberi rasa ‘berakar’ dan menyatu dengan alam," ujar Anselmo.
Permaidani di tangga bantu mengurangkan bunyi dan meningkatkan keselamatan.
2. Permaidani tangga
Tangga bukan sekadar laluan ia boleh jadi pentas gaya bagi kediaman anda.
Daripada warna terang hingga corak lembut, tangga kini dihiasi dengan permaidani sebagai elemen reka bentuk utama.
Selain menambah gaya, permaidani di tangga membantu mengurangkan bunyi dan meningkatkan keselamatan.
Anselmo mencadangkan reka bentuk yang mempunyai kemasan berwarna atau motif halus memberikan penampilan lebih kemas.
Corak geometri lembut memberi struktur kepada ruang dalam nada tenang dan seimbang.
3. Corak geometri lembut
Jika sukakan gaya moden tidak keterlaluan, corak geometri lembut adalah pilihan yang ideal.
Pereka dalaman di Double Rugs, Gabriela Vargas berkata, corak itu memberi struktur kepada ruang dalam nada yang tenang dan seimbang.
Ia sangat sesuai untuk bilik tidur dan ruang tamu, terutama apabila dipadankan dengan palet warna hangat seperti terracotta, sage serta kayu semula jadi.
Warna bumi menyembunyikan kesan kotoran dan calar harian.
4. Warna bumi
Tahun ini juga menyaksikan dominasi warna tanah dalam industri permaidani daripada rona coklat lembut hingga kelabu keemasan.
Selain menambah keselesaan visual, warna itu juga praktikal untuk menyembunyikan kesan kotoran dan calar harian.
Vargas menyatakan bahawa warna itu sesuai untuk pelbagai gaya daripada minimalis hinggalah ke gaya boho.
"Warna bumi mencipta suasana yang menenangkan dan menyatu indah dengan tekstur semula jadi," katanya.
Permaidani corak geometri boleh dijadikan titik fokus dalam bilik tidur, ruang tamu ataupun lorong rumah.
5. Corak Maghribi
Permaidani bercorak Maghribi kembali menjadi tumpuan sebagai pilihan gaya yang kaya dengan budaya dan visual.
Dengan corak geometri yang kompleks serta motif etnik, permaidani jenis itu sesuai dijadikan titik fokus dalam bilik tidur, ruang tamu mahupun lorong rumah.
Ia bukan sahaja menyerlahkan karakter ruang, malah boleh menyatukan keseluruhan konsep hiasan dalaman.
Permaidani kawasan mudah ditukar ganti mengikut musim atau mood.
6. Permaidani kawasan
Walaupun tidak pernah benar-benar ‘hilang’, permaidani kawasan (area rugs) menjadi lebih relevan dalam rekaan kontemporari.
Menurut Vargas, meletakkan permaidani kawasan di atas lantai berlapis atau parket mencipta kedalaman yang boleh digunakan untuk membahagikan zon dalam ruang terbuka seperti ruang tamu dan ruang makan.
Ia juga mudah ditukar ganti mengikut musim atau mood, menjadikannya pilihan fleksibel untuk mereka yang suka memperbaharui ruang kediaman tanpa pengubahsuaian besar. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram