Dari halaman ke ruang tamu, merealisasi tema alam dengan pohon menghijau di tengah kediaman


  • Maya
  • Jumaat, 16 Mei 2025

Elemen alam mampu mencipta suasana yang lebih damai dan menyegarkan, seolah-olah berada di taman. — Agensi

MEMBAWA unsur alam ke dalam rumah bukan sahaja mencipta suasana yang lebih segar dan tenang, malah menjadikan setiap ruang kelihatan hidup.

Menggunakan elemen berasaskan alam seperti motif bunga, daun dan tekstur organik, anda boleh menjadikan kediaman sebagai oasis peribadi yang menenangkan.

Dari bilik tidur hingga ke meja makan, dekorasi berinspirasikan alam mampu menyuntik kesegaran semula jadi ke dalam setiap sudut rumah.

BACA LAGI: 'Saya terlalu penat', bapa gaji RM10,000 bergelut tampung kehidupan keluarga

BACA LAGI: Rakyat Malaysia luah rasa kecewa pusat beli-belah moden ubah suai 'tandas kering', tiada bidet dan paip air

Tip menghidupkan suasana ruang

Menurut pengasas dan pengarah kreatif vVyom By Shuchita, Shuchita Sancheti, elemen kraf tangan yang diadun dengan motif botani mampu mencipta suasana lebih harmoni dalam rumah.

Katanya, cetakan tangan, fabrik semula jadi dan palet warna bumi mampu menyuntik kelembutan serta keceriaan kepada sesuatu ruang.

Misalnya, set alas meja yang dicetak menggunakan teknik blok tangan, quilt kapas yang dijahit rapi dan kusyen bercorak flora adalah contoh hiasan bukan sahaja cantik tetapi juga mempunyai sentuhan seni yang tinggi.

Menggunakan elemen berasaskan alam menjadikan kediaman sebagai oasis peribadi yang menenangkan.

Ini membolehkan anda menggabungkan corak dan tona warna secara harmoni untuk menghasilkan suasana yang lebih organik.

Beliau turut mencadangkan penggunaan alas meja bercorak flora, dulang bertema alam semula jadi dan napkin dengan motif botani untuk mencipta suasana yang tenang dan menyegarkan di ruang makan.

Menurutnya, fabrik kapas yang lembut dalam rona pastel atau warna bumi pula sesuai untuk bilik tidur kerana ia menggambarkan kesegaran padang rumput, menjadikan ruang beristirahat lebih nyaman dan menenangkan.

Selain itu, memilih perabot yang dihasilkan secara mampan dengan teknik tradisional bukan sahaja menambah keindahan visual tetapi juga memberi hubungan jiwa dengan alam.

Sentuhan alam untuk ruang tamu dan halaman

Mengulas mengenai perkara sama, pengasas Stone Art, Brijesh Bansal, menambah bahawa patung atau arca yang mengambil inspirasi daripada bentuk bunga, daun atau haiwan boleh digunakan untuk menghiasi ruang dalam dan luar rumah.

Menurutnya, meletakkan arca itu di sebelah tanaman pasu, di sudut ruang tamu atau di patio boleh menambah sentuhan menenangkan dan bergaya kepada suasana rumah.

Selain itu, pasu bercorak flora juga boleh menjadi titik tumpuan menarik sama ada di meja makan, konsol atau balkoni, sama ada diisi dengan bunga segar atau dibiarkan kosong.

Bansal turut mencadangkan penggunaan panel dinding bercorak bunga atau daun sebagai titik fokus di dalam atau luar rumah.

Panel itu bukan sahaja memberi tekstur menarik tetapi juga menambahkan elemen semula jadi yang penuh kehidupan pada sesuatu ruang.

Dengan menggabungkan arca, pasu, dan panel dinding seperti ini, anda boleh membawa keindahan taman ke dalam rumah tanpa perlu keluar ke halaman.

Membawa unsur semula jadi ke dalam rumah bukan lagi sekadar trend. — Agensi

Dekorasi serba hijau

Ketua Bahagian Pemasarant di Opulin, Dhara Shroff berkata, membawa unsur semula jadi ke dalam rumah bukan lagi sekadar trend, tetapi satu perubahan gaya hidup untuk mencipta ruang yang lebih menenangkan dan organik.

Elemen seperti seni dinding bercorak botani, sarung kusyen bersulam motif flora, dan corak dedaun yang segar kini kembali popular, memberikan sentuhan semula jadi kepada hiasan dalaman moden.

Selain menyerikan rumah, elemen itu juga mampu mencipta suasana yang lebih damai dan menyegarkan, seolah-olah berada di taman.

Beliau turut berkongsi bahawa bunga tiruan yang dihasilkan secara mampan kini semakin popular kerana bukan sahaja mesra alam tetapi juga tahan lama.

Bunga itu boleh digunakan dalam pasu seramik rustic, sebagai hiasan dinding, atau dijadikan wreath untuk mencipta suasana yang lebih semula jadi dan bersahaja.

Untuk yang lebih kreatif, dekorasi yang diperbuat daripada helaian buku lama juga boleh menjadi pilihan menarik.

Ini bukan sahaja menambah karakter kepada sesuatu ruang, tetapi juga mempromosikan amalan kitar semula yang lebih mesra alam.

Dengan menggunakan pendekatan yang lebih berfokus kepada elemen alam semula jadi, anda bukan sahaja boleh menjadikan rumah anda lebih segar dan menarik, tetapi juga mencipta ruang yang lebih tenang dan berjiwa.

Sama ada melalui perabot kayu yang diukir dengan teliti, tekstil kapas yang lembut atau patung berinspirasikan alam, setiap elemen ini mampu mengubah suasana rumah menjadi lebih harmoni dan menyenangkan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram