
DI sebalik kemewahan dan keselesaan pusat beli-belah moden, satu isu kecil tetapi sangat penting kini menjadi bahan perbualan hangat dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu ketiadaan bidet atau paip air di tandas awam.
Walaupun sesetengah pihak pengurusan premis mendakwa keputusan itu dibuat demi memastikan tandas lebih kering dan mudah diselenggara, ramai pengguna tidak bersetuju.
Bagi majoriti rakyat Malaysia, terutama umat Islam, paip air di tandas bukan sekadar kemudahan ia adalah keperluan asas yang berkait rapat dengan kebersihan diri dan tuntutan agama.
BACA LAGI: 'Rumah idaman tapi emosi terbeban', realiti apabila kediaman impian bertukar jadi penyesalan
BACA LAGI: [VIDEO] Langsir 'outdoor' persis hotel terkemuka, 'auto-blind' beri privasi di ruang dapur
Perbincangan hangat ubah suai tandas kering di pusat beli-belah moden mula tular selepas satu hantaran di laman Threads mencetuskan gelombang reaksi daripada pengguna media sosial yang rata-ratanya meluahkan rasa kecewa dan tidak puas hati.
Bagi rakyat Malaysia, tandas kering bukan semestinya tandas yang bersih apatah lagi bila ‘kering’ itu bermaksud tiada bidet atau paip air.
Pengguna @Mktaufiq4436 memulakan perbualan apabila dia mempersoalkan tindakan banyak pusat beli-belah yang dikatakan mula menanggalkan bidet dari tandas mereka.
"Tandas kering itu nampak sahaja tak basah, tapi kencing kering bersepah. Tandas tanpa bidet lagi banyak kali kena cuci,” tulisnya dalam perkongsian tersebut.
Tambahnya lagi, tandas kononnya kering dan bersih itu sebenarnya menyimpan pelbagai kejutan yang tak menyenangkan terutama bau hancing serta najis kering.
Tanpa kemudahan bidet, katanya, sebarang tumpahan atau kekotoran perlu menunggu pekerja pembersihan datang untuk diselesaikan, menjadikan tandas tersebut tidak dapat digunakan buat sementara waktu.
Perkongsian itu ternyata mendapat perhatian ramai yang turut meluahkan kekecewaan mereka terhadap situasi sama.
Ramai mengaku lebih sanggup berdepan tandas yang sedikit basah tapi bersih dan tidak berbau, berbanding tandas kering namun mencetus rasa loya.
Seorang pengguna, @Nfatinajwa turut menyentuh isu kebersihan dari sudut agama:
"Kalau tak bersih, solat pun tak sah. Ini bukan soal selera, tapi melibatkan hukum agama. Malaysia negara Islam, kenapa nak ikut negara Eropah sangat?
"Perlu wujudkan tandas tanpa bidet kami tak marah, tapi jangan hapuskan terus tandas yang ada bidet!”
Perbincangan itu turut menyentuh isu keperluan kemudahan tandas yang inklusif.
Ada pengguna mencadangkan supaya tandas tanpa bidet dibina sebagai pilihan bukannya menggantikan terus tandas konvensional yang dilengkapi paip air.
Malah, ada juga yang sanggup membawa bidet mudah alih sendiri ke tandas awam, seperti dikongsikan oleh seorang pengguna.
"Ada TikToker siap bawa bidet sendiri ke tandas. Kalau aku sebagai pemaju tengok video itu, memang rasa ditempelak.
"Tapi apakan daya, kadang-kadang pihak pengurusan ini cuma fikir nak jimat kos tanpa fikir keperluan asas pengguna," ujarnya.
Kesempatan itu, orang ramai turut menyenaraikan beberapa pusat beli-belah yang didakwa telah membuang kemudahan bidet sepenuhnya.
Sebagai negara dengan majoriti penduduk Muslim, isu ketiadaan paip air di tandas awam bukan sekadar ketidakselesaan ia juga melibatkan soal ibadah dan kebersihan diri.
Maka tidak hairanlah apabila isu itu mendapat perhatian dan sokongan yang meluas daripada pengguna media sosial.
Adakah kita terlalu mengejar konsep ‘tandas kering moden’ hingga mengorbankan fungsi asas dan budaya tempatan? Atau sudah tiba masanya untuk pemilik premis memahami bahawa kemudahan tandas bukan sekadar hiasan, tapi satu keperluan harian yang kritikal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram