
DI sebalik senyuman dan imej seorang lelaki bergaji RM10,000 sebulan, tersembunyi sebuah kisah duka individu bergelar bapa yang semakin hilang arah.
Kehilangan arah itu bukanlah kerana malas, mahupun terlalu boros, tetapi realiti kehidupan di ibu kota yang semakin menghimpit tanpa belas kasihan.
Dalam satu perkongsian di Facebook, seorang lelaki meluahkan rasa beban emosi dan kewangan yang dipikulnya sebagai ketua keluarga.
Lelaki itu merupakan suami kepada seorang isteri dan ayah kepada dua anak kecil yang masih bersekolah rendah.
"Cukup di atas kertas, tapi dalam hati hanya Tuhan tahu."
Ramai menyangka hidupnya sangat stabil dan mungkin juga mewah.
Namun hakikatnya, setiap hari dia bangun dengan perasaan resah dengan memikirkan bagaimana cara untuk mencukupkan segala keperluan rumah.
Dari bayaran rumah dan kereta, sehinggalah ke yuran tuisyen serta keperluan anak-anak.
Lelaki itu meluahkan kehidupannya tidak ubah seperti robot. — Gambar Hiasan
"Kami tak hidup mewah, tapi tetap rasa sesak. Duit habis sebelum hujung bulan, simpanan tak pernah penuh. Bila ada kecemasan, hanya mampu pandang langit.
"Pendapatan bulanan (gaji) makin naik, tapi hati makin hilang rasa ketenangan," luahnya sayu.
Tahun ini, sewaktu mengisi pengisytiharan cukai, dia hanya mampu terdiam melihat jumlah yang telah dibayar kepada kerajaan.
Rasa penat makin mencengkam bila sedar, walaupun pendapatan bertambah, hidupnya tetap sama malah sempit dari sebelumnya.
"Saya rasa macam robot. Bangun, kerja, balik, tidur. Hari-hari ulang. Hidup hanya untuk bayar bil dan tanggung tanggungjawab.
"Saya dah lupa bila kali terakhir saya rasa benar-benar tenang,” katanya dengan nada pilu.
Tak layak bantuan, tapi tak cukup untuk hidup senang
Bagi golongan pertengahan seperti dirinya (M40), mereka ibarat terperangkap di tengah lautan terlalu 'kaya' untuk terima bantuan, tetapi sangat 'miskin' hidup dengan tenang.
Apa lebih menyedihkan, apabila dia mendengar saudara-mara yang bekerja di luar negara layak memohon pelbagai bantuan kerajaan sedangkan mereka tidak menyumbang dari segi cukai di Malaysia.
"Saya bukan cemburu, cuma kecewa. Kami yang tinggal di sini, bayar cukai setiap tahun, ikut undang-undang tapi kami dilupakan.
"Bila minta bantuan, kami ditolak mentah-mentah sebab gaji ‘tinggi’. Tapi cuba tanya, berapa yang tinggal selepas semua perbelanjaan?” ujarnya.
M40 ibarat terperangkap di tengah lautan terlalu 'kaya' untuk terima bantuan, tetapi sangat 'miskin' hidup dengan tenang.
Bukan mahu merungut, cuma terlalu letih
Dia mengakui tidak pernah berniat untuk lari dari tanggungjawab kerana tahu apa itu maksud amanah terhadap keluarga.
Namun begitu, dia juga manusia biasa ada rasa penat dan impian yang semakin ditelan oleh beban.
"Kadang-kadang saya terfikir, apa gunanya semua ini? Saya pernah terbayang berhenti kerja, cari hidup yang lebih tenang atau pindah ke tempat lain.
"Tapi bila lihat wajah anak-anak, saya terus diam. Saya tiada pilihan,” luahnya, hampir putus harap.
Kami tak minta simpati, cuma mahu difahami
Akhir sekali, lelaki itu berharap kisahnya dapat membuka mata pihak berkuasa bahawa golongan M40 juga manusia, rakyat dan pembayar cukai.
"Kami bukan marah. Kami cuma penat. Penat menyimpan rasa, penat terus berpura-pura kuat. Kami tak minta bantuan mewah. Kami cuma mahu dilihat, didengari, dan dihargai.”
Itulah jeritan sunyi seorang bapa dalam diam yang berjuang untuk semua ahli keluarganya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram