
BAYANGKAN sedang kita berjalan di kawasan kejiranan bandar besar seperti London, England pada tahun 1930-an, anda terlihat sebuah sangkar besi tergantung di luar tingkap apartmen lima tingkat.
Dalam sangkar besi tergantung itu pula terdapat seorang bayi sedang berbaring, bermain atau tidur sambil terdedah kepada cahaya matahari dan udara segar.
Jika perkara seperti itu berlaku pada hari ini pastinya ia sudah menimbulkan panik dan mendapat perhatian daripada pihak berkuasa.
BACA LAGI: 'Saya terlalu penat', bapa gaji RM10,000 bergelut tampung kehidupan keluarga
Namun bukan pada awal abad-20, tindakan mengantung bayi dalam sangkar dianggap satu simbol keprihatinan dan kesedaran kesihatan.
Itulah realiti di sebalik kewujudan 'baby cage' atau sangkar bayi, satu ciptaan yang muncul pada awal abad ke-20 sebagai jawapan kepada cabaran kehidupan bandar padat dan tidak mesra kanak-kanak.
'Baby cage' membolehkan bayi berehat di udara terbuka walaupun kediamannya berada berpuluh kaki dari tanah. — Agensi
Pada awal 1900-an, timbul satu kepercayaan tentang kesihatan dalam masyarakat barat tentang udara luar dan cahaya matahari.
Udara luara dan cahaya matahari dianggap ubat semula jadi untuk pelbagai penyakit, termasuk tuberkulosis (batuk kering), salah satu wabak paling menakutkan zaman itu.
Namun begitu, kehidupan di bandar besar seperti London dan New York, Amerika Syarikat tidak menawarkan banyak ruang terbuka, apatah lagi keluarga yang tinggal di pangsapuri kecil dan sempit.
Bagi ibu bapa yang ingin memastikan anak mereka membesar dalam keadaan sihat, pilihan amat terhad maka lahirlah idea radikal membawa bayi keluar dari rumah menggunakan sangkar.
Pada 1922, seorang wanita bernama Emma Read dari Washington, Amerika Syarikat, memfailkan paten untuk ciptaan yang dinamakan 'portable baby cage'.
Ciptaan itu berbentuk sangkar logam dipasang jaring besi di sekelilingnya, direka untuk dipasang di luar tingkap lengkap dengan pelapik atau tilam kecil di dalamnya.
Ia membolehkan bayi ‘berehat’ di udara terbuka walaupun kediamannya berada berpuluh kaki dari tanah.
Beberapa organisasi kesihatan tempatan di London, termasuk kelab-kelab kesihatan komuniti, mengedarkan sangkar bayi itu secara percuma kepada keluarga tidak mempunyai akses kepada taman atau balkoni.
Sangkar bayi dianggap sebagai satu penyelesaian moden dan bertanggungjawab.
Sepanjang tahun 1920-an dan 1930-an, penggunaan 'baby cage' mendapat sambutan di kalangan keluarga kelas pertengahan dan pekerja bandar.
Iklan produk itu sering menekankan faedah kesihatan dengan memperkuatkan sistem imun bayi, mencegah riket dan mengurangkan risiko jangkitan pernafasan.
Pada zaman itu, sains perubatan masih dalam proses mempelajari banyak perkara berkaitan imuniti dan perkembangan kanak-kanak dan udara segar dianggap 'perlu ada' dalam penjagaan bayi.
Kehadiran sangkar bayi, ibu bapa tidak perlu lagi membawa anak ke taman atau berjalan kaki jauh cukup hanya membuka tingkap dan bayi dapat menikmati terapi semula jadi.
Gambar-gambar lama menunjukkan bayi tersenyum di dalam sangkar besi di tingkat tiga lengkap dengan mainan, bantal dan kadang-kadang selimut musim sejuk.
Ia mungkin kelihatan aneh dan menakutkan hari ini, tetapi pada waktu itu ia adalah refleksi gaya hidup bandar moden yang berusaha menyesuaikan diri dengan kekangan ruang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram