Pengiktirafan Dr. Farina cerminan keupayaan pakar konservasi tempatan — MPOGCF


  • Berita
  • Khamis, 15 Mei 2025

Bagi Hairulazim (kanan), pencapaian Dr. Farina memberi impak kepada usaha konservasi alam sekitar.

PENGURUS Besar Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOCGF), Hairulazim Mahmud menzahirkan rasa bangga atas kejayaan penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Farina Othman yang meraih pengiktirafan antarabangsa menerusi Anugerah Whitley 2025.

Pencapaian itu merupakan satu pengiktirafan dalam bidang pemuliharaan alam sekitar oleh Whitley Fund for Nature (WFN) di United Kingdom (UK).

Menurut Hairulazim, pencapaian tersebut bukan sahaja membanggakan negara, malah memberi impak kepada usaha konservasi alam sekitar, khususnya melibatkan spesies gajah Borneo di Sabah.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Muda dulu sibuk kerja', bekas guru usia 82 tahun aktif sertai kelas tarian, pasukan sorak

BACA LAGI: Tak kisah ulang pakai busana sama, Kate Middleton bijak 'maximize wardrobe' cipta gaya baharu

Dr. Farina bekerja secara langsung dengan pekerja ladang, pekebun kecil dan sekolah tempatan untuk melatih mereka mengenali gajah secara individu.

“Pertamanya, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Dr. Farina. Beliau seorang yang sangat berdedikasi dan mengetuai badan bukan kerajaan (NGO) Seratu Atai yang turut menjadi rakan strategik MPOGCF,” katanya kepada Majoriti.

Tambah beliau, anugerah yang diterima Dr. Farina adalah satu pengiktirafan besar dalam dunia konservasi dan membuktikan bahawa usaha anak tempatan kini mendapat perhatian masyarakat antarabangsa

"Anugerah ini bukan sesuatu yang kecil. Ia menunjukkan bahawa usaha-usaha yang dilakukan anak-anak Malaysia mula dipandang oleh pihak di Barat.

"Mereka sedar bahawa kerja-keja konservasi bukan hanya dimenangi oleh mereka sahaja, tetapi juga anak-anak tempatan yang terlibat dengan usaha konservasi," ujarnya.

Tambahnya lagi, kejayaan tersebut memberi motivasi besar kepada seluruh pasukan konservasi tempatan untuk terus komited dalam usaha memelihara biodiversiti, selain mengetengahkan keupayaan saintis Malaysia di mata dunia.

“Ramai anak-anak tempatan terlibat dengan konservasi ini mungkin tidak menyerlah daripada luar negara, tetapi mereka ada. Mereka sangat gigih, sangat bersungguh-sungguh untuk memelihara sumber alam sekitar kita," jelasnya.

Terdahulu, Dr. Farina diumumkan sebagai penerima anugerah terlibat yang disampaikan oleh Puteri Anne di Royal Geographical Society, London pada 30 April lalu.

Beliau turut menerima geran bernilai £50,000 (RM287,000) yang akan digunakan untuk membina koridor selamat bagi gajah Borneo dan menyokong peranan komuniti dalam memantau konflik hidupan liar. Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram