MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek membayangkan beberapa berita gembira akan diumumkannya sempena Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh pada Selasa.
Beliau berkata, pengumuman itu dijangka memberi semangat serta impak terhadap keseluruhan ekosistem pendidikan negara.
"Tunggu esok, insya-ALLAH ada beberapa perkara yang saya fikir (akan diumumkan esok) untuk kita bagi semangat kepada guru-guru kita dan keseluruhan kepada ekosistem pendidikan dan negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2023 di MITC Ayer Keroh yang turut dihadiri Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar.
Katanya, penghormatan sewajarnya harus diberikan kepada golongan pendidik jika mahu melihat Malaysia membangun sebagai sebuah negara bangsa yang kuat.
"Refleksi guru bangsa ini akan memberikan refleksi kepada kekuatan dan jati diri yang kuat kepada rakyatnya.
"Biar orang (luar) melihat rakyat Malaysia, orang (luar akan) ingat guru-guru bangsa inilah yang telah mendidik rakyat Malaysia sehingga menjadi rakyat yang kuat jati diri ... maknanya kekuatan bangsa itu lahir daripada kekuatan guru-gurunya," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram