Adab berguru semakin pupus, dulu dicari demi ilmu, kini perlu 'mengadap' anak murid


  • Mukmin
  • Jumaat, 16 Mei 2025

Jika budaya menghormati guru runtuh, maka runtuhlah asas pendidikan dan peradaban. — Gambar hiasan/dijana AI

DALAM tradisi masyarakat Melayu-Islam yang beradab tinggi, guru ialah susuk dijunjung mulia.

Guru tidak mencari murid, sebaliknya murid atau ibu bapa murid yang datang mencari guru.

Bahkan, dalam kalangan bangsawan dan orang berada suatu ketika dahulu, menjadi kebiasaan untuk menjemput guru ke rumah bagi mengajar anak-anak mereka.

BACA LAGI: Nasib guru terpaksa huni kuarters usang, tiap bulan kena potong gaj

BACA LAGI: Cikgu Melayu tutur bahasa Tamil untuk berkomunikasi dengan pelajar India, paparan keindahan kasih sayang seorang guru

Layanan terhadap guru bukan sembarangan. Mereka dihidang makanan terbaik dan dimuliakan kedudukannya.

Tradisi ini menggambarkan betapa tingginya kedudukan guru di sisi masyarakat dahulu.

Ia berbeza dengan zaman kini, apabila guru pula terpaksa ‘mendatangi’ murid baik secara fizikal mahupun dalam talian demi memastikan ilmu sampai kepada mereka.

Kedudukan guru tidak lagi dilihat sebagai sumber kemuliaan, tetapi kadangkala dianggap hanya sebagai penyampai servis semata-mata.

Merosotnya adab

Perubahan inilah antara penyumbang kepada kemerosotan adab terhadap guru yang semakin membimbangkan hari ini.

Profesor Kehormat Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Siti Rugayah Tibek berkata, antara faktor utama merosotnya adab terhadap guru ialah pengaruh dunia digital yang memberi akses pantas kepada maklumat.

Pelajar kini lebih banyak bergantung kepada media sosial untuk mendapatkan ilmu, tanpa lagi melihat guru sebagai sumber ilmu utama.

Ini secara tidak langsung mengurangkan penghargaan terhadap peranan guru sebagai penyampai ilmu dan pembimbing kehidupan,” kata beliau ketika dihubungi Majoriti.

Tambah Siti Rugayah, kehilangan nilai tradisi serta pendidikan adab yang bermula dari rumah turut menyumbang kepada masalah ini.

"Ramai ibu bapa sibuk mengejar keperluan hidup, lalu mengabaikan bimbingan asas kepada anak-anak. Apabila pendidikan adab tidak bermula di rumah, maka sukar untuk nilai hormat itu dipupuk di sekolah.

"Fenomena ‘hak individu mesti diutamakan’ yang semakin menular dalam pemikiran moden juga membawa kesan negatif.

"Pelajar mula melihat diri mereka setaraf dengan guru, bahkan merasa bebas untuk mempersoal, membahas atau membantah guru tanpa adab.

"Malah, sistem pendidikan yang terlalu menekankan pencapaian akademik semata-mata menyebabkan aspek pembinaan adab dan akhlak diketepikan. Sijil menjadi keutamaan, sedangkan akhlak tidak lagi diberi perhatian,” tegas beliau.

Tambahnya, media sosial pula memainkan peranan besar dalam memusnahkan wibawa guru.

"Sikap segelintir masyarakat yang memviralkan kecaman terhadap pendidik atau memperlekehkan mereka di ruang awam menanam benih tidak hormat dalam jiwa pelajar, secara sedar mahupun tidak,” katanya lagi.

Siti Rugayah (gambar kecil) berkata, antara faktor utama merosotnya adab terhadap guru ialah pengaruh dunia digital yang memberi akses pantas kepada maklumat.

Pendidikan adab perlu diperkukuh

Siti Rugayah menegaskan bahawa institusi pendidikan mesti mengembalikan penekanan terhadap adab sejak awal, bukan sekadar mengejar akademik.

"Sekolah perlu memperkukuh dasar dan amalan yang mengangkat maruah guru. Ibu bapa pula mesti menjadi teladan iaitu jangan memburukkan guru di hadapan anak-anak, tetapi menunjukkan sikap hormat dan memberi kepercayaan kepada guru sebagai pendidik anak mereka.

"Zaman dahulu, ibu bapa sangat menekankan pentingnya menghormati guru. Suasana ini perlu dikembalikan.

"Masyarakat juga mesti menghargai peranan guru secara terbuka, termasuk melalui media arus perdana dan tidak menjatuhkan maruah pendidik secara umum,” ungkap beliau.

Adab klasik kian dilupakan

Dalam warisan tradisi Melayu dan Islam, terdapat pelbagai bentuk adab murid terhadap guru yang kini makin pupus. Antaranya ialah:

- Tidak mendahului guru dalam bercakap – Murid diam mendengar dengan penuh adab, tidak mencelah ketika guru berbicara.

- Bangun berdiri apabila guru masuk ke dalam kelas – Tanda penghormatan kepada guru.

- Tidak duduk lebih tinggi daripada guru – Dalam tradisi pondok, murid duduk rendah dan menunduk sebagai lambang tawaduk.

- Tidak memandang guru secara terus menerus – Sebagai tanda malu dan hormat.

Adab ini telah dicontohi oleh para ulama terdahulu.

Diriwayatkan bahawa Imam Syafie RA berkata: “Aku membuka lembaran di hadapan guruku perlahan-lahan kerana aku segan jika bunyinya mengganggu beliau.”

Begitulah tingginya adab para ulama terhadap guru mereka.

Teknologi, jurang adab

Menurut Siti Rugayah lagi, kehadiran teknologi sememangnya memudahkan komunikasi, termasuk antara guru dan pelajar namun, ia juga telah mewujudkan jurang adab yang besar.

Ramai pelajar kini bersikap terlalu santai seperti menggunakan bahasa tidak formal, menghantar mesej tanpa mengira waktu, bahkan ada yang mengkritik dan menyindir guru secara terbuka di media sosial.

Sempadan antara guru dan pelajar semakin kabur dan nilai hormat kian menghilang,” katanya.

Institusi pendidikan wajar mengembalikan penekanan terhadap adab sejak awal, bukan sekadar mengejar akademik bagi melahirkan modul insan terbaik.  — Gambar hiasan

Peranan semua pihak

Justeru, Siti Rugayah menegaskan bahawa guru bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi pembentuk generasi.

Jika budaya menghormati guru runtuh, maka runtuhlah asas pendidikan dan peradaban.

Ibu bapa, guru, sekolah dan pihak media semuanya perlu berganding bahu. Guru juga mesti menjaga nama baik dan akhlak mereka agar terus dihormati.

Persatuan ibu bapa dan guru pula wajar berganding bahu membentuk masa depan generasi yang beradab dan berilmu,” tegasnya.

Guru miliki darjat tinggi

Sesungguhnya, memuliakan guru bukan sekadar tradisi, tetapi perintah agama yang mengangkat martabat ilmu dan orang yang menyampaikannya.

Firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Mujadalah, ayat 11 yang bermaksud:

ALLAH meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”

Rasulullah SAW pula mengingatkan kita dalam sabdanya:

Bukanlah dari golongan kami orang yang tidak menghormati orang tua, tidak menyayangi yang muda dan tidak mengetahui hak para ulama.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Kesimpulannya, menghormati guru adalah asas keberkatan ilmu dan adab adalah pintu utama kepada kejayaan sebenar dalam kehidupan.

Justeru, marilah kita sebagai ibu bapa, pendidik, pelajar dan masyarakat secara keseluruhan berganding bahu menghidupkan kembali budaya memuliakan guru demi masa depan agama, bangsa dan negara. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram