
SEORANG pempengaruh wanita dari United Kingdom (UK) meraih perhatian warga maya apabila tampil mencuba gaya hijab yang sering digayakan wanita Muslimah di Malaysia.
Menerusi satu video di aplikasi TikTok miliknya, @maryxm.mx, wanita berkenaan mempamerkan beberapa stail tudung yang penuh kemas, sopan dan elegan.
Video berdurasi 20 saat itu menunjukkan setiap lilitan, pin dan lipatan tudung dilakukan dengan penuh teliti oleh pempengaruh berkenaan.
Penampilannya bukan sahaja menarik perhatian, malah turut dianggap memberi inspirasi kepada ramai pengikut dari dalam dan luar negara.
Sehingga kini, perkongsian tersebut meraih lebih 470,000 tanda suka, dengan ribuan komen memuji keanggunan dan kesesuaian gaya hijab yang digayakan oleh pempengaruh itu.
Ramai dalam kalangan pengguna TikTok menyifatkan penampilannya sebagai #HijabGoals dan bukti bahawa gaya hijab Malaysia mempunyai daya tarikan yang mampu menembusi perhatian antarabangsa.
Rata-rata pengikut dari Malaysia menyambut baik usaha beliau mencuba gaya tersebut, malah ada yang menawarkan tip dan sokongan untuk terus meneroka kepelbagaian gaya hijab tempatan.
Tidak kurang juga yang menyatakan rasa bangga apabila gaya Muslimah Malaysia mula mendapat tempat dalam komuniti fesyen antarabangsa.
"Okey ini memang stail orang Malaysia, kami approved (setuju). Tak sangka wanita Islam di luar negara pun berminat untuk belajar fesyen tudung wanita tempatan ya," tulis Sophea Jalil.
"Sebagai wanita Malaysia, saya sangat sukakannya. Ia memang stail hijab yang saya gayakan setiap hari," ujar lily. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram