SERAMAI 32 sukarelawan belia, terdiri daripada mahasiswa tempatan dan antarabangsa terlibat dalam projek sosial The Houseboat Adventure 2026: PEACE4Community.
Program berkenaan dianjurkan Sekretariat P.E.A.C.E. (People Empowered to Act for Community & Empathy) yang berlangsung dari 9 hingga 11 Januari lalu di Kampung Tebang Baru, Royal Belum dekat Gerik, Perak.
Projek berasaskan komuniti itu menghimpunkan mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) bersama penyertaan penuntut Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) serta pelajar antarabangsa dari Ethiopia, Perancis, Pakistan, Finland dan Amerika Syarikat.
BACA LAGI: Tidak terhad universiti awam, 9 laluan akademik bentuk masa depan cerah lepasan SPM
BACA LAGI: UTP-UM kini antara 5 universiti Malaysia berada ranking terbaik di dunia

Aktiviti kemasyarakatan dianjurkan memberi manfaat kepada hampir 100 penduduk di kampung berkenaan.
Ia sekali gus menjadikan program kali ini sebagai sebuah inisiatif kesukarelawanan rentas budaya dan antarabangsa yang memfokuskan pembangunan belia dan komuniti Orang Asli.
Sepanjang program, sukarelawan menjalankan pelbagai aktiviti komuniti yang memberi manfaat langsung kepada lebih 100 penduduk Kampung Tebang Baru, khususnya kanak-kanak Orang Asli berumur empat hingga 12 tahun.
Antara pengisian utama ialah Program Literasi Asas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira), sesi pembelajaran mengaji, aktiviti sukaneka keluarga serta ziarah rumah ke rumah bagi memahami realiti kehidupan komuniti setempat.
Menurut salah seorang kanak-kanak Orang Asli yang terlibat, kehadiran sukarelawan yang sanggup datang mengajar membaca dan mengaji membuatkan mereka berasa dihargai dan bersemangat untuk belajar.

Pelbagai aktiviti menarik melibatkan kanak-kanak Orang Asli disediakan sukarelawan.
Kanak-kanak tersebut turut menyatakan harapan agar program sebegini dapat diteruskan supaya mereka dapat belajar membaca dan mengaji sehingga tamat Iqra’ dan Al-Quran.
Sebagai simbolik penutup program, sebanyak 30 kotak Peace 4 Community mengandungi barangan keperluan asas diagihkan kepada keluarga terpilih hasil kerjasama strategik bersama MyFundAction.
Inisiatif itu selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat, melalui pendekatan kolaboratif antara mahasiswa, komuniti dan badan bukan kerajaan.
Keunikan program itu turut terserlah apabila keseluruhan aktiviti pembangunan diri peserta dilaksanakan di atas kapal houseboat, menjadikannya platform pembelajaran terapung menggabungkan elemen kepimpinan, kesejahteraan emosi dan pembinaan semangat berkumpulan.

The Houseboat Adventure 2026: PEACE4Community melibatkan mahasiswa dari dalam dan luar negara.
Antara aktiviti yang turut dijalankan termasuk water confidence activity, perkongsian nilai, aktiviti berkumpulan serta sesi penilaian dan refleksi bagi menilai impak serta hala tuju program kesukarelawanan P.E.A.C.E pada masa akan datang.
The Houseboat Adventure 2026: PEACE4Community kali ini turut membuktikan peranan mahasiswa sebagai ejen perubahan sosial yang mampu menyumbang secara bermakna kepada komuniti, bukan sahaja di peringkat tempatan malah dalam konteks global.
Program itu diharap dapat diteruskan sebagai salah satu inisiatif pembangunan mahasiswa holistik di bawah seliaan Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPA), USM. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
