Presiden Miss Grand International buat aduan jenayah terhadap Fatima Bosch, dakwa sebar fitnah berulang kali


  • Gaya
  • Khamis, 04 Dis 2025

Nawat Itsaragrisil (kiri) membuat aduan jenayah terhadap Fatima Bosch (kanan) atas dakwaan membuat kenyataan fitnah berulang kali yang mencemar reputasinya.

PRESIDEN Miss Grand International (MGI), Nawat Itsaragrisil membuat aduan jenayah terhadap Miss Universe 2025, Fatima Bosch atas dakwaan membuat kenyataan fitnah berulang kali yang mencemar reputasinya.

Dalam satu hantaran di media sosial pada Rabu, pihak MGI memuat naik laporan polis sepanjang empat muka surat yang menunjukkan Nawat hadir sendiri ke Balai Polis Wat Phraya Krai, Bangkok,Thailand pada 12 November untuk membuat aduan rasmi.

“Sekiranya sebarang tindakan fitnah lain dikesan, tindakan undang-undang tambahan akan diambil sepenuhnya,” menurut kapsyen organisasi itu.

BACA LAGI: Dari bilik jenazah: Sukarelawan dedah kisah isteri dizalimi suami hingga dijangkiti HIV

BACA LAGI: Rindu yang tidak pernah padam, Ibu Hanim kongsi cara bangkit selepas pemergian suami

Aduan itu berkait insiden pada hari kedua pertandingan Miss Universe 2025, apabila Nawat menegur Bosch di hadapan peserta lain kerana enggan menyertai sesi fotografi tajaan. 

Tindakan itu menyebabkan Bosch meninggalkan lokasi, diikuti Ratu semasa, Victoria Theilvig dan beberapa peserta lain.

MGI menegaskan Nawat tidak pernah memanggil Bosch dengan panggilan 'bodoh' sebelum majlis penyampaian sashing.

Rakaman audio menunjukkan beliau hanya menggunakan perkataan 'damage' (merosakkan) sebagai amaran.

“Bagaimanapun, apabila Fatima Bosch Fernandez keluar dari bilik itu, beliau segera membuat tuduhan palsu di hadapan media. 

"Walaupun sedar fakta sebenar kemudian, beliau tidak memohon maaf dan terus menuduh secara palsu dalam pelbagai temu bual, seolah-olah untuk membela diri, sebelum dinobatkan sebagai Miss Universe,” menurut kenyataan itu.

MGI turut menuduh Bosch menyalah tafsirkan insiden berkenaan di media sosial dan menasihati media supaya berhati-hati melaporkan kejadian itu, kerana kegagalan berbuat demikian boleh membawa tindakan undang-undang terhadap media sebagai rakan konspirasi fitnah.

Aduan ini timbul selepas Bosch menyatakan hasrat mengekalkan gelaran Miss Universe 2025 sehingga akhir tempoh pemerintahannya, walaupun timbul dakwaan kemenangannya telah ditentukan kerana hubungan perniagaan bapanya dengan presiden organisasi pertandingan, Raul Rocha.

Nawat memegang francais Miss Universe tempatan selama lima tahun dan merupakan Naib Presiden MUO untuk Asiana, sambil terus menjadi Presiden MGI, sebuah pertandingan pesaing MUO.

Beberapa minggu selepas penobatan, Miss Universe 2025 terus dihimpit kontroversi termasuk peletakan jawatan juri, pengarah negara dan beberapa peserta. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram