GURU Bahasa Inggeris di Kolej Vokasional (KV) Keningau, Dr. Sirhajwan Idek mencipta sejarah apabila dipilih sebagai penerima Sustainability Waste Awareness and Responsible Action (Swara) 2025, anugerah bertaraf Asia Tenggara yang menghargai inovasi dalam pengurusan sisa makanan.
Majlis pengumuman berlangsung pada 10 Disember 2025 secara hybrid itu menampilkan finalis dari seluruh rantau.
Dr. Sirhajwan merupakan satu-satunya wakil Malaysia dalam senarai 12 finalis dan dipilih menerima Anugerah Khas atas kejayaan beliau membimbing pelajar KV Keningau dalam projek Upcycled Food Waste Social Entrepreneurship.
BACA LAGI: 'Childhood' trauma boleh merosakkan hubungan, Ustazah Nazirah kongsi cara rawat jiwa
Projek itu mengubah sisa makanan seperti sisik ikan, buah-buahan dan nasi menjadi makanan, produk kosmetik dan bahan pencuci.
Inovasi ini bukan sahaja memenangi pertandingan, diterbitkan dalam jurnal, malah berjaya dijual di pasaran dan digunakan dalam aktiviti kesukarelawanan seperti membersih longkang sekolah.
“Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan peribadi, tetapi pengiktirafan terhadap usaha bersama pelajar saya yang berdedikasi. Kami ingin tunjukkan bahawa sisa makanan boleh menjadi sumber berharga jika kreatif dan inovatif," katanya.
Dr. Sirhajwan percaya bahawa pendidikan bukan sahaja tentang mengajar akademik, tetapi juga membentuk nilai tanggungjawab terhadap masyarakat dan alam sekitar.
"Projek ini membuka mata pelajar bahawa mereka boleh menyumbang secara positif sejak muda lagi," katanya.
Beliau juga menjadikan ibunya, Bintek Abdul Rahman sebagai inspirasi terbesar dalam mendidik dan memupuk nilai inovasi dalam diri beliau.
“Segala kejayaan ini bermula daripada dorongan dan ajaran ibu yang sentiasa menekankan kepentingan usaha dan ketekunan,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
