Tak sempat rakam foto perkahwinan, pasangan legenda Hong Kong abadikan momen berbusana tradisi Bhutan selepas 16 tahun penantian


  • Cinta
  • Jumaat, 05 Dis 2025

Pasangan legenda Hong Kong, Liza Wang dan Law Kar Ying akhirnya memiliki foto perkahwinan yang selama ini tidak pernah sempat dirakamkan.

SELEPAS 16 tahun mendirikan rumah tangga, pasangan legenda Hong Kong, Liza Wang dan Law Kar Ying akhirnya memiliki foto perkahwinan yang selama ini tidak pernah sempat dirakamkan dan momen itu dirakam dalam suasana yang jauh lebih magis daripada yang mereka bayangkan.

Dalam episod terbaharu program kembara 'Take Liza to the World', produksi rancangan tersebut menghadiahkan pengalaman persis sebuah majlis perkahwinan Bhutan kepada pasangan itu.

Menerusi hantaran pada 17 November, Liza berkongsi beberapa foto memaparkan dirinya dan Law mengenakan busana tradisional perkahwinan Bhutan, lengkap dengan latar pemandangan memukau. 

BACA LAGI: Dari bilik jenazah: Sukarelawan dedah kisah isteri dizalimi suami hingga dijangkiti HIV

BACA LAGI: Rindu yang tidak pernah padam, Ibu Hanim kongsi cara bangkit selepas pemergian suami

 Liza Wang dan Law Kar Ying ketika melalui ritual perkahwinan tradisional Bhutan.

Antara lokasi penggambaran termasuk Jambatan Gantung Punakha, kawasan ikonik Punakha Dzong, serta sebuah upacara khas yang dipimpin Lama Master di Chimi Lhakhang. 

Pasangan itu turut melalui ritual perkahwinan tradisional Bhutan, seperti pasangan pengantin tempatan.

“Saya tak pernah terfikir kami akan memakai pakaian tradisional Bhutan, restu daripada seorang master dan diraikan dengan tarian penduduk kampung. Pengalaman ini betul-betul tak dapat dilupakan,” kata Liza.

Bagi Law Kar Ying, yang kini kembali berjuang melawan kanser, momen ini lebih bermakna daripada sekadar sesi penggambaran.

Beliau pernah menyatakan hasrat untuk mempunyai foto perkahwinan sejak mereka berkahwin di Amerika Syarikat pada 2009, namun impian itu sentiasa tertunda.

“Akhirnya hajat saya tertunai,” katanya.

Malah, yang menjadikan pengalaman ini lebih istimewa adalah kehadiran penduduk kampung yang tampil dalam pakaian tradisi terbaik mereka, menyanyi dan mempersembahkan tarian rakyat untuk pasangan itu.

Di sebalik perjalanan hidup yang penuh cabaran, termasuk kesihatan Law yang tidak menentu, cinta mereka tetap teguh dan foto-foto di Bhutan itu mencipta detik manis yang baharu. 

Walaupun sudah lebih satu dekad hidup bersama, kisah cinta dua bintang veteran ini terus memikat hati ramai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram