TINDAKAN Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai keputusan berjiwa besar yang wajar dihormati.
Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kepimpinan Muhyiddin dalam kerajaan dan PN sebelum ini meninggalkan rekod tersendiri, khususnya ketika negara berdepan wabak Covid-19.
"Kami anggap ini satu tindakan yang berjiwa besar dan sangat dihormati.
BACA LAGI: ‘Rumah nenek ada Wi-Fi tak?’, tanda kebergantungan digital kanak-kanak makin membimbangkan
BACA LAGI: Tiada laporan polis diterima, Dr. Maza digesa beri maklumat gerakan kultus kepada pihak berkuasa
"Segala jasa dan khidmat bakti Tan Sri ketika memimpin PN dan Malaysia tetap akan dikenang," katanya.
Afnan menambah, usaha Muhyiddin memimpin negara keluar daripada krisis pandemik sehingga rakyat kembali menikmati kehidupan normal merupakan jasa besar yang tidak boleh dinafikan.
Dalam pada itu, beliau turut memohon maaf jika terdapat kenyataannya sebelum ini menyinggung perasaan bekas Perdana Menteri itu.
"Tiada isu peribadi, hanya ketegasan demi kebaikan bersama dalam sebuah kapal. Walau nakhoda berganti, kapal ini mesti terus belayar menempuh ombak dan badai," katanya.

Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden
Afnan yang mewakili jentera Pemuda PN dan Pemuda PAS menegaskan mereka akan terus memberi sokongan kepada kepimpinan gabungan itu.
"Jasa Tan Sri akan kami kenang sampai akhir hayat," ujarnya.
Terdahulu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Peletakan jawatan itu disahkan sendiri bekas Perdana Menteri itu menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.
"Saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah lama memberikan sokongan kepada saya selama saya memimpin PN sejak penubuhannya lima tahun lalu," katanya.
Muhyiddin turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada semua barisan kepimpinan PN dan parti-parti dianggotai.
Peletakan jawatan Muhyiddin membuka ruang kepada kepemimpinan baharu dalam PN, dengan tumpuan kini terarah kepada hala tuju gabungan berkenaan menghadapi cabaran politik semasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
