AKTIVITI scammer kini dilihat semakin licik dan berani, menggunakan pelbagai taktik untuk menipu orang ramai.
Mereka bukan sahaja berselindung di sebalik panggilan telefon atau mesej ringkas, malah ada yang tampil secara fizikal dengan mengaku sebagai wakil pihak tertentu.
Modus operandi mereka semakin tersusun, menggunakan alasan rasmi yang nampak munasabah untuk memerangkap mangsa, sekali gus menjadikan orang ramai lebih mudah percaya.
BACA LAGI: [VIDEO] Kasih seorang abang, budak lelaki tak teragak-agak terjun dalam gaung selamatkan adik
Kejadian terbaru yang berlaku di kawasan Eco Grandeur dekat kawasan Eco Grandeur, Puncak Alam, Selangor kini menjadi tular di media sosial.
Menurut perkongsian Dhia Zara Aisyah di laman Threads pada Isnin, seorang lelaki datang ke butik tersebut dengan alasan menjadi wakil kepada majikannya.
"Dimaklumkan berlaku cubaan penipuan (scammer) di Butik Love Baby Puncak Alam HQ
"Individu terbabit merupakan seorang lelaki berusia, mengaku bernama Mr Ong, yang datang dengan alasan bahawa pihak 'bos' (majikan) masih belum menjelaskan bayaran bagi urusan tertentu (seperti simen atau lain-lain).
"Individu tersebut turut mendakwa diarahkan oleh 'boss' untuk mengambil wang jualan pada hari yang sama bagi tujuan melangsaikan baki bayaran," tulisnya.
Melalui video yang dikongsikan, suspek memakai jaket biru dan menggunakan pelitup muka dilihat menghampiri mangsa yang berada di kaunter pembayaran.
Malah, suspek juga berpura-pura menghubungi majikan mangsa menggunakan telefon pintar serta meminta pekerja butik berkenaan menyerahkan sejumlah wang.
Selepas mangsa menyerahkan wang tersebut, suspek kemudiannya beredar melarikan diri.
Kejadian itu turut menimbulkan kebimbangan masyarakat di sekeliling kawasan itu.
Malah, menjengah ke ruangan komen, seorang lagi wanita, fienazomar mendakwa pernah berhadapan dengan situasi yang sama.
"Ya, kedai saya dekat Kuala Selangor, Selangor pun pernah kena. Modus operandi yang sama," katanya.
Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa mengenai kejadian tersebut.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah percaya kepada individu yang mendakwa mereka mewakili pihak syarikat tanpa pengesahan rasmi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
