Ringankan beban ibu bapa, RMHC hulur geran tambahan RM480,000 kepada 6 organisasi kebajikan


  • Massa
  • Khamis, 18 Dis 2025

RMHC menambah geran sebanyak RM480,000 kepada enam organisasi kebajikan.

SALAH satu daripada dugaan berkeluarga adalah apabila ibu bapa berdepan dengan situasi anak kecil mereka mengalami sakit tenat.

Tidak semua ibu bapa dapat menanggung kos perubatan anak-anak yang ada masanya akan mencecah ribuan ringgit.

Oleh itu, Ronald McDonald House Charities (RMHC) mengambil inisiatif dengan tampil ke hadapan menyediakan geran perubatan kepada enam organisasi kebajikan.

BACA LAGI: Laksana pendekatan holistik, Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald semai harapan buat anak istimewa

BACA LAGI: Ibarat ‘rumah kedua’, kemudahan RMH bantu meringankan beban keluarga pesakit kronik

Wakil penerima geran tambahan RMHC ketika majlis penyerahan dilakukan pada Rabu.

RMHC pada Rabu memberikan geran sebanyak RM480,000 kepada enam organisasi kebajikan iaitu Yayasan IJN, Persatuan Kebajikan Pesakit Kanak-Kanak Hospital USM, Tabung Kebajikan Pesakit Hospital TABTAR UKM, Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Hospital Tunku Azizah, PPUMCare dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia HWKKS.

Sebelum ini, RMHC menyalurkan geran sebanyak RM300,000 kepada enam organisasi tersebut pada September 2025 dan kini mencecah RM2.1 juta sejak ia dimulakan pada 2018.

"Perkataan paling sukar yang boleh diucapkan oleh ibu bapa kepada anak-anak ialah 'kami tidak mampu membayar rawatan.' Keluarga-keluarga sepatutnya tidak perlu memilih di antara nyawa anak dan bil rawatan.

"Geran perubatan ini adalah komitmen kami bahawa setiap sumbangan menjadi satu peluang untuk kanak-kanak sembuh, membesar, dan menikmati kehidupan sebagai kanak-kanak.

"Kami berdiri teguh bersama hospital dan dana kebajikan agar keluarga dapat menumpukan sepenuh perhatian mereka kepada perkara yang paling penting — iaitu berada di sisi anak mereka," ujar Pengurus Besar RMHC, Mohd Nasri Nordin.

Dalam pada itu, seorang penerima bantuan, Sivabalan Lecthuminadan amat berterima kasih kepada RMHC yang membiayai kos perubatan anaknya, Vellvilye Sivabalan berusia dua tahun.

Baginya, bantuan tersebut begitu membantu mereka di saat keluarganya sedang mengalami kesulitan.

"Sudah bertahun-tahun, RMHC menjadi nama yang digunakan oleh komuniti kami pada saat-saat paling sukar kami. Geran perubatan mereka bukan sahaja membantu keluarga seperti saya.

"Geran perubatan ini telah meringankan beban banyak keluarga yang berdepan kerisauan dan ketidakpastian akibat penyakit yang mengancam nyawa anak mereka. Kami dan ramai lagi amat menghargai sokongan yang telah diterima terutamanya setelah melalui saat-saat sangat mencabar dalam hidup kami," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram