MELIHAT kepada kualiti pemain perseorangan lelaki negara yang rendah jika dibandingkan dengan skuad beregu, Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei berharap perkara itu dapat diselesaikan segera.
Memandangkan Piala Thomas akan diadakan pada Mei 2026, Chong Wei beranggapan masa semakin suntuk untuk BAM meningkatkan kualiti pemain perseorangan negara.
Walaupun ketika ini Malaysia dibarisi dengan pelbagai skuad beregu berkualiti, namun untuk memenangi Piala Thomas yang dimainkan secara berpasukan memerlukan pemain perseorangan berkaliber.
BACA LAGI: Sangka menang tipis, Amorim kecewa Man United terlalu santai 'bocor' minit akhir
BACA LAGI: Liverpool tetap perlukan Mo Salah — Steven Gerrard

Skuad lelaki Malaysia meraih perak dalam acara badminton berpasukan di Sukan SEA 2025. — TVS
Kekangan masa itu ditambah dengan BAM wajib menyediakan pemain perseorangan berkualiti sebelum Kejohanan Badminton Berpasukan Asia yang merupakan kelayakan Piala Thomas pada Februari.
"Kita perlu melakukan persiapan awal, kita tidak boleh tunggu sehingga Januari kerana kelayakan akan diadakan pada Februari.
"Kenneth Jonassen akan memantau skuad perseorangan sementara Rexy Mainaky menguruskan skuad beregu. Kami sudah berbincang mengenai perkara ini sebelum berangkat ke Sukan SEA," jelas Chong Wei.
Dalam masa yang sama, Chong Wei berharap yang pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia sempat sembuh dari kecederaannya sebelum kelayakan.
Dengan BAM kini cuma mempunyai Leong Jun Hao dan Justin Hoh dalam skuad mereka untuk dipertaruhkan, khidmat Zii Jia amat dialu-alukan untuk membawa kejayaan buat Malaysia.
"Harapan itu masih ada, Jun Hao dan Justin adalah dua pemain utama kita, dan di luar kem BAM, kita ada Zii Jia.
"Jika Zii Jia sempat pulih untuk Piala Thomas, kita boleh dapatkannya untuk mewakili negara. Dengan rankingnya, dia boleh jadi pemain perseorangan ketiga," ujarnya. — The Star/ADAM ZAMRI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
