DETIK cemas penerjun udara yang tergantung beribu meter di udara selepas payung terjunnya tersangkut pada ekor pesawat mencuri perhatian dunia selepas rakaman kejadian itu didedahkan oleh pihak berkuasa Australia pada Khamis.
Insiden dramatik yang berlaku di selatan Cairns pada September lalu itu hanya didedahkan selepas siasatan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) selesai.
Mangsa bagaimanapun dilaporkan terselamat tanpa kecederaan serius.
BACA LAGI: Gempa berskala mega diramal landa Jepun susulan gegaran kuat 7.5 magnitud
BACA LAGI: [VIDEO] Wanita terima hadiah lepas sanggup korbankan skarf lap tumpahan air boba di lantai
Menurut ATSB, kejadian berlaku ketika sekumpulan 16 penerjun udara sedang melakukan aksi formasi pada ketinggian 15,000 kaki (4,600 meter).
Namun aksi berkenaan bertukar kecoh sejurus peserta pertama tiba di pintu keluar pesawat apabila pemegang payung terjun simpanannya tersangkut pada kepak sayap.
Rakaman video yang dikeluarkan memaparkan peserta itu tercampak ke belakang, dengan kakinya menghentam badan pesawat, manakala payung terjun simpanan berwarna oren yang terbuka secara tidak sengaja membelit ekor pesawat.
Kekecohan itu turut menyebabkan jurukamera yang sedang berada di sisi pesawat dan bersedia untuk terjun ditolak secara tidak sengaja, sebelum terjatuh dalam keadaan freefall, menurut laporan ATSB yang tidak mendedahkan identiti mereka yang terlibat.
Video turut menunjukkan penerjun itu meletakkan tangan di topi keledarnya selama beberapa saat, dipercayai terkejut dengan kejadian yang menimpa.
SKYDIVER CHEATS DEATH IN MID-AIR PARACHUTE SNAG INCIDENT – SHOCKING ATSB REPORT
A Queensland skydiver survived a terrifying accident when his parachute snagged on a Cessna Caravan’s tail at 15,000ft.
Dragged out of the plane and suspended below it, he cut reserve… pic.twitter.com/QkfKzfULIN
— Info Room (@InfoR00M) December 11, 2025
Ketika dirinya tergantung di udara, peserta tersebut bertindak pantas menggunakan pisau bertangkuk untuk memotong tali payung simpanan sehingga berjaya melepaskan diri.
Selepas bebas daripada belitan, peserta itu membuka payung terjun utama dan mendarat dengan selamat di tanah.
Ketua Pesuruhjaya ATSB, Angus Mitchell, berkata insiden berkenaan membuktikan kepentingan membawa pisau bertangkuk semasa penerjunan, meskipun ia bukan satu keperluan peraturan.
"Dalam situasi seperti pembukaan awal payung simpanan, pisau bertangkuk boleh menyelamatkan nyawa," katanya.
Sementara itu, ATSB memaklumkan ekor pesawat mengalami kerosakan ketara akibat hentaman dan belitan payung terjun, menyebabkan juruterbang kehilangan sebahagian kawalan pesawat.
Juruterbang turut mengeluarkan panggilan kecemasan ‘mayday’, namun berjaya mendaratkan pesawat dengan selamat tanpa melibatkan sebarang korban. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
