Dijangkiti Influenza A, sebutan kes dadah Namewee ditangguh


  • Kes
  • Khamis, 18 Dis 2025

Namewee menerima sijil sakit dari hospital swasta selama tiga hari.

SEBUTAN bagi kes dadah melibatkan selebriti, Namewee ditangguhkan selepas dia disahkan dijangkiti virus influenza pada Khamis.

Namewee atau nama sebenarnya, Wee Meng Chee, mengalami Influenza A dan perkara itu diberitahu oleh peguamnya, Joshua Tay di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim dan S. Arunjothy dalam dua sebutan berbeza.

Penyanyi hip hop itu dikatakan memperoleh sijil sakit selama tiga hari oleh sebuah hospital swasta.

BACA LAGI: ‘Saya dah cuba selamatkan dia’, Namewee trauma influencer Taiwan maut depan mata

BACA LAGI: Namewee hanya dibebaskan selepas laporan bedah siasat selesai — Polis

Namewee didakwa dengan dua pertuduhan berbeza berkenaan penggunaan dadah.

"Penjamin kepada klien saya memberikan sijil sakit selama tiga hari dari hospital swasta, termasuklah laporan perubatan mengatakan yang dia mengalami Influneza A.

"Oleh itu, saya saya minta agar kes ini diberikan tarikh baharu," katanya.

Permintaan Joshua itu diterima mahkamah dengan 22 Disember dan 19 Januari ditetapkan sebagai tarikh baharu sebutan semula kes.

Ketika sebutan, Timbalan Pendakwa Raya, Vivi’ Asnitha Zaina’ Larifin dan Izzat Amir Idham turut hadir.

Sebelum ini, Namewee didakwa pada 24 Oktober atas dua pertuduhan berasingan iaitu memiliki dadah jenis ekstasi serta beberapa dadah lain termasuk amfetamin dan metamfetamin.

Dia didakwa atas satu pertuduhan memiliki 5.12 ekstasi di sebuah bilik tingkat 55, sebuah hotel di Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada pukul 4.30 petang, 22 Oktober.

Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1), yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta antara tiga hingga sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.

Namewee juga didakwa atas pertuduhan menggunakan dadah jenis amfetamin, metamfetamin, tetrahidrokanabinol dan ketamin di tandas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira pukul 7.15 malam pada hari yang sama.

Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta berkenaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, serta pengawasan selama antara dua hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Namewee kini dibebaskan dengan jaminan RM4,000. — The Star/NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram