PENYANYI rap dan pengarah filem, Namewee memberitahu bahawa dia telah melakukan segala yang termampu untuk menyelamatkan pempengaruh Taiwan, Hsieh Yu Hsin, namun gagal.
"Saya melihat seorang manusia meninggal dunia di depan mata saya buat kali pertama.
"Saya sudah lakukan segala yang saya mampu untuk menyelamatkannya tetapi tiada apa lagi yang boleh dilakukan. Imej ini akan kekal dalam ingatan saya selama-lamanya," kata Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee dalam satu hantaran Facebook pada Jumaat.
BACA LAGI: Namewee hanya dibebaskan selepas laporan bedah siasat selesai — Polis
BACA LAGI: Saya sudah tiba di balai polis, tak pernah melarikan diri — Namewee
Ini merupakan kenyataan awam pertamanya sejak dia dibebaskan daripada tahanan berhubung siasatan polis terhadap kematian Yu Hsin.
"Selepas sembilan hari dalam tahanan, saya dibebaskan. Ini adalah tempoh paling lama saya pernah ditahan," katanya.
Namewee menambah bahawa dalam dua hari pertama tahanan, dia disoal siasat oleh enam pasukan polis berbeza daripada pelbagai jabatan, dengan sesi paling lama mencecah 15 jam.
"Mereka merakamkan kenyataan saya dengan pelbagai kaedah dan menggunakan pelbagai peralatan teknologi untuk menjalankan siasatan menyeluruh. Kerja mereka teliti dan sangat profesional,” ujarnya.
Dia turut menyeru orang ramai agar tidak menilai seseorang berdasarkan pekerjaan mereka.
"Merakam kandungan OF tidak menjadikan dia seorang yang tidak bermoral. Tolong hentikan pembulian siber terhadap mendiang," katanya merujuk kepada platform OnlyFans.
Namewee ditahan polis berhubung kematian Yu Hsin pada 5 November lalu.
Polis kemudian mengklasifikasikan semula kes berkenaan sebagai kes bunuh selepas pada awalnya mengkategorikannya sebagai mati mengejut.
Siasatan mendapati Namewee adalah individu terakhir dilihat bersama mangsa berusia 31 tahun itu di sebuah bilik hotel di sini sekitar pukul 1.40 tengah hari pada 22 Oktober.
Dia kemudiannya ditahan atas dakwaan memiliki dan menggunakan dadah tetapi dibebaskan selepas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkaitan dadah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 24 Oktober.
Pada Rabu, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, tiada bukti yang mengaitkan Namewee dengan kematian Hsieh dan beliau akan dibebaskan dengan jaminan polis.
"Kami telah menerima kertas siasatan kes ini daripada pihak polis.
"Selepas menelitinya, kami mendapati tiada bukti menunjukkan suspek terlibat dalam pembunuhan pempengaruh Taiwan tersebut," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
