TikTok, WhatsApp antara platform media sosial dianggap berdaftar mulai 1 Januari 2026 — MCMC


  • Massa
  • Rabu, 17 Dis 2025

MCMC akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan dan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk memperkukuh keselamatan dalam talian. — Gambar hiasan

PENYEDIA perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia yang tertakluk kepada kerangka pelesenan di bawah Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)), akan disifatkan berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) mulai 1 Januari 2026.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi satu kenyataan berkata, pelaksanaan Peruntukan Deeming itu dilakukan terhadap penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.

Menurut MCMC, langkah tersebut untuk memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam kerangka perundangan serta kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan.

BACA LAGI: MCMC perkukuh keselamatan kanak-kanak dalam talian, kempen ‘Internet Selamat’ antara 4 inisiatif

BACA LAGI: Usaha perkasa akses digital, MCMC NEXUS rangkul Digital Inclusion Award 2025

Media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia akan disifatkan berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) mulai 1 Januari 2026. — Gambar hiasan/ Freepik

Katanya, pendekatan tersebut juga selaras dengan kerangka perlesenan penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025 bagi mengukuhkan akauntabiliti serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia.

"Inisiatif ini juga bagi memastikan semua platform terlibat untuk memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga," katanya.

Menurut MCMC, pelaksanaan itu dibuat melalui pengetepian formaliti pendaftaran di bawah seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Peruntukan Deeming) terhadap penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria termasuk WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.

"Penyedia perkhidmatan yang telah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) akan kekal berdaftar dan pelaksanaan ini hanya akan berkuat kuasa selepas tempoh pendaftaran sedia ada tamat.

"Penyedia perkhidmatan yang terlibat akan terus beroperasi menerusi platform global mereka seperti biasa.

"Pendekatan ini sejajar dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar," katanya.

MCMC berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan dan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk memperkukuh keselamatan dalam talian terutamanya kanak-kanak serta keluarga demi manfaat semua pengguna di Malaysia.

Maklumat terperinci tentang pelaksanaan Peruntukan Deeming boleh diperoleh melalui laman web MCMC di https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf2/FAQ_Pelaksanaan-Peruntukan-Deeming_15-Disember-2025.pdf. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram