Usaha perkasa akses digital, MCMC NEXUS rangkul Digital Inclusion Award 2025


  • Massa
  • Jumaat, 21 Nov 2025

Pesuruhjaya MCMC, Derek Fernandez menerima anugerah bagi MCMC NEXUS pada Malaysia Digital Transformation Awards 2025.

APLIKASI mudah alih Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), MCMC NEXUS meraih penghargaan Digital Inclusion Award (Special Mention) pada Malaysia Digital Transformation Awards 2025.

Anugerah berprestij itu disampaikan pada acara GovInsider Live MY.AI Day, yang turut menonjolkan komitmen MCMC dalam memperkasakan pengguna dengan akses maklumat yang lebih jelas dan tepat mengenai pengalaman kesalinghubungan mereka.

MCMC NEXUS dilihat sebagai aplikasi mesra pengguna yang membolehkan orang ramai menyemak tahap kualiti Internet masing-masing melalui data masa nyata berasaskan laporan pengguna. 

BACA LAGI: Digital Sabah RM2 bilion: MCMC jamin bukan sekadar janji atas kertas

BACA LAGI: MCMC peroleh penghakiman ingkar terhadap Telegram 'Edisi Siasat', 'Edisi Khas' kerana sebar kandungan memudaratkan

Maklumat yang dikumpul ini bukan sahaja membantu mereka memahami prestasi rangkaian, malah memberi gambaran lebih tepat mengenai pengalaman sebenar di lapangan.

Data tersebut turut dimanfaatkan oleh MCMC dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk mengenal pasti lokasi yang memerlukan penambahbaikan, bagi memastikan usaha menaik taraf kesalinghubungan digital dapat dilaksanakan secara lebih bersasar dan berkesan di seluruh negara.

Melalui aplikasi berkenaan, pengguna boleh menguji prestasi rangkaian 4G, 5G dan Wi-Fi termasuk metrik penting seperti kelajuan muat turun, muat naik, ping dan jitter. 

MCMC NEXUS dilihat sebagai aplikasi mesra pengguna.

Keputusan yang tidak memenuhi Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) akan disalurkan hampir serta-merta kepada MCMC dan penyedia perkhidmatan terlibat.

Aplikasi itu juga menampilkan Ujian Pengalaman Data yang menilai prestasi penggunaan Internet harian seperti pelayaran web dan permainan dalam talian, memberi gambaran lebih menyeluruh terhadap pengalaman pengguna sebenar.

Integrasi MCMC NEXUS dengan JENDELA Map turut mengukuhkan kedudukannya sebagai alat sokongan penting kepada pelaksanaan inisiatif kesalinghubungan nasional di lapangan.

Pengiktirafan tersebut sekali lagi menekankan kepentingan memastikan semua rakyat Malaysia tanpa mengira lokasi, pendapatan atau latar belakang, menikmati akses saksama kepada perkhidmatan digital yang kini menjadi keperluan asas dalam kehidupan moden. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram