Dikritik jual apam bersama sambal, Kueh tampil perjelas asal usul kuih tradisional Negeri Sembilan


  • Bisnes
  • Selasa, 16 Dis 2025

Apam Johol dimakan bersama sambal bawang yang berfungsi sebagai penyeimbang rasa manis apam. — Threads

 

PENIAGA kedai kuih-muih tradisional yang popular, Kueh tampil memberikan penjelasan susulan ulasan yang diterima berkaitan produk jualannya, iaitu Apam Johol, sejenis kuih tradisional yang mungkin masih kurang dikenali oleh sesetengah masyarakat.

Menurut peniaga berkenaan, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak yang memberikan ulasan tersebut kerana menyedari bahawa tidak semua orang arif tentang kewujudan dan keunikan kuih tradisional itu.

“Apam Johol atau turut dikenali sebagai Apam Peranggi, merupakan kuih warisan dari Negeri Sembilan yang mempunyai ciri dan kaedah penyediaan tersendiri,” jelasnya.

BACA LAGI: Peniaga kek moist dikecam guna ‘rage bait’ jual produk RM5, ramai anggap hina golongan miskin

BACA LAGI: Konsep infak disalah guna lariskan jualan, 'founder' tegur peniaga manipulasi istilah agama

Apam Johol atau turut dikenali sebagai Apam Peranggi merupakan kuih warisan dari Negeri Sembilan. — Threads

Secara autentik, Apam Johol diperbuat daripada tepung gandum, gula merah seperti gula Melaka atau gula kabung serta yis. Adunan ini kemudiannya dibungkus menggunakan daun rambai atau daun pisang sebelum dikukus.

Dari segi tekstur, inti Apam Johol sememangnya padat dan tidak selembut apam moden atau kek span, selaras dengan resipi tradisional yang diwarisi turun-temurun.

Menariknya, kuih itu dihidangkan bersama sambal bawang, bukannya sambal ikan bilis. Sambal tersebut berfungsi sebagai penyeimbang rasa manis apam, sekali gus melengkapkan kombinasi rasa seperti yang diamalkan dalam resipi asal.

“Dari segi rupa dan tekstur, Apam Johol memang berbeza daripada apam yang biasa dikenali. Kami memahami bahawa ia mungkin tidak menepati cita rasa semua orang,” katanya lagi.

 

 

Terdahulu, tular reviu darpada pelanggan yang memberikan rating satu bintang dan mempersoalkan penyediaan Apam Johol.

"Kuih apa ni? Boleh tak jangan jual kalau dah apam tu apam saja lah. Sambal ikan bilis ke sambal bawang? Tolonglah cari pembekal kuih yang kualiti sikit sendu," tulisnya.

Meskipun menerima teguran, pihak admin Kueh menzahirkan penghargaan terhadap setiap pandangan dan maklum balas yang diterima, dan menganggapnya sebagai ruang untuk penambahbaikan pada masa akan datang.

Untuk rekod, Kueh dimiliki oleh Ezwan Zain yang juga suami kepada Erra Fazira. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram