GOLONGAN peniaga di Laman Rimbunan, Kepong, Kuala Lumpur membantah pemasangan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) baharu di kawasan komersial yang sibuk itu.
Mereka berkata, unit pengecas berkenaan mengambil ruang petak parkir yang sepatutnya boleh digunakan untuk meletak kenderaan.
Dua stesen pengecas yang masih belum beroperasi itu akan mengambil empat petak parkir di sepanjang Jalan Rimbunan Raya 1.
BACA LAGI: Dikritik jual apam bersama sambal, Kueh tampil perjelas asal usul kuih tradisional Negeri Sembilan
BACA LAGI: 'Saya tahu rasanya hidup miskin', Izham Ismail jual snek di sekolah sebelum jadi orang kanan MAS

Keadaan jalan di belakang lot kedai yang berlubang teruk dan berlopak apabila hujan. — FAIHAN GHANI/The Star
Lee Kok Kin, 50, yang menjalankan perniagaan menjual aksesori berkata, kewujudan stesen pengeca berkenaan akan memburukkan lagi kesesakan.
“Petak parkir di tengah kawasan komersial memang cepat penuh.
“Apabila stesen pengecas ini mula beroperasi, ia akan mengambil petak parkir yang penting di tengah deretan kedai, menyebabkan lebih banyak kenderaan berpusing-pusing mencari tempat letak kereta,” katanya.
Seorang pemandu peribadi, Lee Fook Sang, 65, pula membangkitkan kebimbangan keselamatan berkaitan pembinaan tembok penghadang (kerb) yang ditinggikan bagi menempatkan stesen berkenaan.
“Kerb itu dibina lebih tinggi daripada aras tanah dan pemandu mungkin tidak menyedarinya lalu mengundur kenderaan hingga melanggar struktur tersebut,” katanya.
Sementara itu, aktivis Kepong, Yee Poh Ping, berkata dia menerima aduan daripada penduduk berhubung pemasangan stesen pengecas itu.
Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) wajar memindahkan stesen berkenaan ke bahagian hujung blok komersial.
“Kebiasaannya, petak parkir di hujung bangunan kedai mengambil sedikit masa untuk dipenuhi kenderaan.
“Meletakkan stesen pengecas di situ adalah lebih sesuai,” katanya sambil memberitahu, dia akan menghantar surat rasmi kepada DBKL bagi mengemukakan cadangan tersebut.
Yee turut menyorot keadaan jalan di lorong belakang kedai di Jalan Rimbunan Raya 1 yang disifatkan sebagai kurang memuaskan.
“Lorong belakang yang kerap digunakan kenderaan, khususnya van membawa barangan, dipenuhi banyak lubang dan menjadi bahaya kepada penunggang motosikal ketika hujan lebat.
“DBKL juga perlu menurap semula lorong-lorong ini serta menghalang sebarang aktiviti memasak secara haram daripada berlaku di situ,” katanya. — The Star / JAROD LIM
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
