PADA tahun 2011, ketika menjalani latihan industri selama enam bulan di Trivago, Johannes Thomas diberi banyak tanggungjawab dan ruang untuk berkembang.
Di situ, Thomas menyifatkan perjalanan latihan industrinya seperti bermain dalam 'sandbox' yang mana dia boleh mencuba apa sahaja.
Menjelang pertengahan tempoh praktikal, Thomas sedar dia boleh belajar lebih banyak mengenai kerja berbanding di universiti.
BACA LAGI: Bisnes perlahan bukan kelemahan, rupanya ada petanda positif di sebalik 'slow growth'
BACA LAGI: 'Saya tahu rasanya hidup miskin', Izham Ismail jual snek di sekolah sebelum jadi orang kanan MAS

Selain Thomas (duduk kiri), Trivago dipimpin bekas pelatih yang kini Ketua Pegawai Pemasaran, Jasmine Ezz (duduk kanan) dan Ketua Pegawai Kewangan, Wolf Schmuhl (belakang, kanan) — Trivago
Jadi, apabila Trivago menawarkannya kerja, Thomas mengambil keputusan untuk menerima peluang itu, dan 14 tahun kemudian, dia menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan.
"Ibu adalah orang yang tidak begitu gembira apabila saya meninggalkan pengajian.
"Dia cakap sayang sangat sebab saya hanya tinggal setahun sahaja lagi dan sepatutnya boleh menamatkan pengajian.
"Tapi saya tidak menyesal berbuat demikian dan sekarang saya jarang memikirkan tentangnya," kata Thomas yang mengikuti pengajian dalam bidang ekonomi dan pelancongan.
Cerita Thomas, dia tidak pernah menjangka akan mengikuti laluan kerjaya tradisional.
"Bapa saya seorang usahawan yang menguruskan syarikat pelancongan di Jerman. Saya pernah mempertimbangkan untuk menyertai perniagaan keluarga, tetapi saya lebih berminat pada aspek digital dalam pelancongan.
"Datang dari keluarga usahawan, saya diajar untuk mengikuti minat dan rasa ingin tahu sendiri," katanya.
Justeru, tidak hairanlah semasa masih menjalani latihan praktikal, Thomas sudah memulakan sebuah syarikat pelancongan digital secara sambilan.
Dia turut merancang untuk mempelajari kemahiran baharu semasa latihan industri untuk diaplikasikan dalam syarikat berkenaan.
"Latihan industri saya di Trivago menumpukan kepada pemasaran dalam talian di UK.
"Ketika itu, pemasaran prestasi Google adalah 'frontier' baharu. Ia tidak diajar di universiti kerana sebaik sahaja buku diterbitkan, maklumatnya sudah ketinggalan zaman.
"Anda perlu belajar dengan mencuba sendiri dan ia memberi kelebihan kepada golongan muda seperti saya," imbaunya.
Memandangkan Thomas memahami pemasaran prestasi, dia dilantik untuk mengurus pemasaran enjin carian global.
"Saya kekal dalam jawatan itu selama tiga tahun sebelum beralih ke projek strategik," katanya.

Thomas berpendapat, latihan industri dapat membantu menilai sama ada seseorang itu akan menyumbang kepada pasukan. — Agensi
Bercerita lanjut, Thomas berkata, sejak latihan industri, dia menukar jawatan di Trivago setiap dua hingga tiga tahun.
"Saya cuba buat diri useless dalam sesebuah pasukan dan sentiasa bergerak ke pengalaman baharu.
"Sehingga kini, saya memegang enam jawatan berbeza di Trivago," katanya.
Tidak terkecuali daripada dihimpit cabaran, Thomas berkata, pandemik Covid-19 hampir menamatkan 'nyawa' Trivago.
"Kami kehilangan 95 peratus pendapatan dalam tempoh beberapa minggu sahaja. Tiada siapa yang tahu bila ia akan kembali normal," katanya yang berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Pendapatan sewaktu tempoh kritikal itu.
Thomas memberitahu, dia kemudian mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada syarikat.
"Saya menubuhkan sebuah 'startup' bersama beberapa rakan dari Trivago. Saya masih terlibat sebagai pelabur, tetapi pada 2023 saya kembali ke Trivago sebagai CEO.
"Staf tiada motivasi untuk bekerja. Sebagai pemimpin, saya perlu membuat keputusan tegas bagi menstabilkan syarikat dan mencipta kejayaan.
"Mujurlah, industri pelancongan kembali lebih kuat daripada sebelumnya," katanya.
Hari ini, Trivago mempunyai kira-kira 600 pekerja (menurun daripada kira-kira 1,500 sebelum pandemik), tetapi masih dapat memberi impak besar melalui teknologi seperti AI.
Selain Thomas, ada rakan lain yang bermula sebagai pelatih industri kini duduk di kerusi kepimpinan Trivago.
"Kami berhasrat menjadi syarikat di mana orang boleh berkembang dalam jangka masa panjang," katanya.
Trivago masih mengekalkan program latihan industri yang kukuh malah, sejak 2023, bilangan pelatih dgandakan.
Thomas berpendapat, menerusi latihan industri selama enam bulan, mereka benar-benar dapat menilai sama ada seseorang itu akan menyumbang kepada pasukan.
"Apabila saya mengambil pekerja, saya selalu bertanya mengenai portfolio sebelum menyoal tentang ijazah. Ya, ijazah memang penting untuk memasuki dunia kerja, tetapi ia menjadi kurang relevan apabila anda boleh menunjukkan impak sebenar yang boleh dicapai.
"Saya berjaya kerana saya mengambil inisiatif dan melaksanakan idea. Itu lebih penting daripada sebarang ijazah," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
