Jana pendapatan hingga RM900, jualan kulit telur boleh bantu suri rumah buat duit


  • Bisnes
  • Rabu, 17 Dis 2025

Kulit telur yang diproses boleh dijual menerusi platform e-dagang seperti Shopee bagi menjana pendapatan sampingan. — Gambar hiasan

RAMAI beranggapan kulit telur hanyalah sisa makanan yang tidak bernilai namun hakikatnya, ada orang yang berjaya menjana pendapatan tambahan sehingga RM900 hanya dengan menjual kulit telur yang diproses.

Menurut perkongsian di Facebook Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), kulit telur boleh dimanfaatkan sebagai baja atau kompos.

Bukan itu sahaja, ia juga berguna dalam aktiviti berkebun, antaranya untuk menghalang kehadiran serangga perosak seperti siput yang sering menjejaskan tanaman.

BACA LAGI: Parkir makin terhad, peniaga di Kepong gesa DBKL pindahkan stesen pengecas EV

BACA LAGI: Dikritik jual apam bersama sambal, Kueh tampil perjelas asal usul kuih tradisional Negeri Sembilan

 

 

Antara kelebihan utama kulit telur ialah kandungan kalsiumnya yang tinggi, menjadikannya sesuai digunakan sebagai baja semula jadi untuk menyuburkan tumbuh-tumbuhan.

Seorang warga maya turut berkongsi bahawa kulit telur yang diproses boleh dijual menerusi platform e-dagang seperti Shopee bagi menjana pendapatan sampingan.

Difahamkan, kulit telur perlu melalui proses tertentu sebelum boleh dipasarkan. Antara langkah penyediaannya ialah:

  1. Cuci dan bersihkan kulit telur menggunakan air.

  2. Keringkan di dalam ketuhar pada suhu 100 darjah Celsius selama kira-kira 15 minit.

  3. Masukkan kulit telur yang telah kering ke dalam beg kain atau plastik bertutup, kemudian hancurkan.

  4. Bungkus mengikut berat tertentu.

  5. Pasarkan untuk jualan (harga pasaran sekitar RM10 hingga RM12 sekilogram).

Menurut perkongsian tersebut, kulit telur kaya dengan kalsium dan mineral yang membantu meningkatkan pertumbuhan tanaman.

“Kalsium penting untuk membina dinding sel tumbuhan yang kuat dan sihat. Kajian juga menunjukkan kalsium daripada kulit telur mampu mengurangkan keasidan tanah, sekali gus menjadikannya medium yang lebih sesuai untuk pertumbuhan optimum tanaman.

“Tambahan kalsium juga membantu mencegah kerosakan pada tumbuhan. Selain itu, baja daripada kulit telur bersifat mesra alam dan tidak memudaratkan,” katanya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram