KEMENTERIAN Pendidikan merekodkan beberapa pencapaian membanggakan sepanjang tiga tahun lalu dalam pelaksanaan reformasi Pendidikan.
Ia termasuk penguatkuasaan pendidikan menengah wajib, usaha mengurangkan beban tugas pendidik serta pembinaan dan pemulihan sekolah di seluruh negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan reformasi pendidikan itu akan terus diperkukuh, dengan tumpuan kementerian pada tahun hadapan adalah untuk mempersiapkan guru bagi pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP 2027).
BACA LAGI: KP2027: Kurikulum baharu fokus kemahiran, pembentukan karakter dan pembelajaran holistik murid

Setiap kanak-kanak Malaysia kini dilindungi secara undang-undang untuk kekal dalam sistem pendidikan sehingga tamat sekolah menengah. — Gambar hiasan/ FB KPM
Kurikulum berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula di peringkat prasekolah pada 2026, diikuti Tahun Satu dan Tingkatan Satu pada 2027.
“Komitmen berterusan Kementerian Pendidikan dalam mengurangkan beban tugas guru akan membolehkan pendidik memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP), termasuk memperkukuh penguasaan pedagogi serta melaksanakan reformasi secara berkesan di dalam bilik darjah.
“Kami mahu guru dapat fokus di bilik darjah, meningkatkan kualiti PdP dan melaksanakan pembaharuan dalam amalan pengajaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sheikh Tahir Jalaluddin di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, pada Ahad (14 Disember).
Rekrut guru baharu
Fadhlina berkata, antara pencapaian paling signifikan kementerian ialah kelulusan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 di Parlimen, yang menjadikan pendidikan menengah wajib sehingga Tingkatan Lima.
Dengan pindaan tersebut, setiap kanak-kanak Malaysia kini dilindungi secara undang-undang untuk kekal dalam sistem pendidikan sehingga tamat sekolah menengah, sekali gus memastikan tiada keciciran selepas Tahun Enam.
Menyentuh pemulihan pascapandemik, beliau berkata, kalendar persekolahan kebangsaan akan kembali bermula pada Januari mulai sesi akademik 2026, selepas empat tahun jadual terganggu, selaras dengan keperluan ibu bapa dan guru.

Fadhlina berkata, guru tidak lagi perlu menanggung tugas luar akademik. — Gambar hiasan/ FB Fadhlina Sidek
Beliau turut memaklumkan bahawa program intervensi literasi dan numerasi menunjukkan hasil positif, dengan 398,496 murid berjaya menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), meningkat berbanding 326,051 murid sebelum pelaksanaan intervensi tersebut.
Dalam usaha mengurangkan beban tugas guru, Fadhlina berkata, kementerian melaksanakan reformasi tugas termasuk pelantikan 562 pembantu guru, penempatan 600 pembantu warden di bawah inisiatif Program Pekerjaan Jangka Pendek Malaysia (MySTEP), penyediaan sokongan operasi di 281 sekolah menengah, serta penambahbaikan Rancangan Pengajaran Harian (RPH).
Kementerian Pendidikan juga memansuhkan Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM) bagi mengurangkan beban tugas warga pendidik.
“Sistem tersebut memberi kesan secara langsung terhadap kebajikan guru dan beban tugas mereka,” katanya.
Fadhlina berkata, sistem itu sering menjadi topik perbincangan dalam kalangan guru yang mahu memastikan mereka tidak terikat dengan keperluan sistem berkenaan sehingga menjejaskan tumpuan terhadap PdP di dalam bilik darjah.
Menurut beliau, pemansuhan sistem itu juga bertujuan memberi ruang kepada guru untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran di bilik darjah, khususnya menjelang pelaksanaan kurikulum baharu dan pelan pembangunan pendidikan yang dijadualkan bermula tahun depan.

Penambahbaikan sekolah, pembinaan kemudahan baharu serta penyediaan ruang pembelajaran yang lebih kondusif menjadi antara agenda KPM memperkukuh infrastruktur. — Gambar hiasan/ FB Fadhlina Sidek
Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan juga berjaya merekrut 52,948 guru baharu, mencapai kadar pengisian 98 peratus iaitu tertinggi dalam hampir sedekad, sekali gus memastikan hampir semua kelas di seluruh negara mempunyai tenaga pengajar yang mencukupi.
Dari segi keselamatan sekolah, Fadhlina memaklumkan, kementerian melaksanakan serentak 11 inisiatif Sekolah Selamat di seluruh negara, termasuk peruntukan RM5 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), pelantikan 10,096 guru dan kaunselor baharu, serta 600 pembantu warden asrama.
Beliau menambah, pembinaan dan pemulihan infrastruktur pendidikan juga mencatat kemajuan memberangsangkan, dengan 44 sekolah baharu dibina dan 44 projek sekolah daif disiapkan menjelang 2025.
Fadhlina berkata lagi, usaha memperluas pendidikan awal kanak-kanak turut diperkukuh melalui perluasan prasekolah Kementerian Pendidikan ke sekolah menengah kebangsaan, kolej vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG), sekali gus meningkatkan akses pendidikan awal di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.
Mengulas inisiatif menangani keciciran sekolah di kawasan pedalaman, beliau berkata, peluasan sekolah K9 dan K11 berjaya mencapai kadar sifar keciciran, dengan murid kekal bersekolah sehingga menamatkan pendidikan menengah.
Selain 10 kejayaan tersebut, berikut lima lagi pencapaian Kementerian Pendidikan yang tak kurang hebatnya:
1. Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET): 99 peratus kebolehpasaran graduan dan dana dinaikkan buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun
2. RM100 juta bantuan awal persekolahan diluaskan sehingga Tingkatan Enam
3. Kenaikan elaun IPG daripada RM430 ke RM530
4. Baucar Buku Madani sebanyak RM50 bagi murid Tahun 4 hingga Tahun 6, murid sekolah menengah, pelajar IPT dan pelatih IPG (RM100) dan semua guru (RM100) untuk menghidupkan budaya membaca
5. Pelaksanaan pendidikan inklusif menerusi pengesanan awal dan sokongan elaun RM150 sebulan untuk murid OKU bagi meringankan beban keluarga — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
