MURID sekolah rendah di Malaysia menunjukkan tahap literasi yang kompetitif serta kemahiran numerasi yang kukuh, menurut dapatan terbaharu Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata, meskipun murid mendepani gangguan pembelajaran ketika pandemik Covid-19, prestasi mereka masih mengatasi rakan sebaya dari rantau ini.
“Generasi ini melalui Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika berada di Tahun Satu dan Dua pada 2020 hingga 2021 di bawah Perintah Kawalan Pergerakan.
“Gangguan pembelajaran pada fasa awal persekolahan ini memberi kesan besar kepada penguasaan kemahiran asas dan menyediakan konteks penting untuk mentafsir dapatan SEA-PLM dengan lebih tepat,” katanya.
BACA LAGI: KP2027: Kurikulum baharu fokus kemahiran, pembentukan karakter dan pembelajaran holistik murid
BACA LAGI: Subjek baharu untuk murid Tahap 1 ganti Sains, Pendidikan Kesihatan, Seni dan Muzik bermula 2027
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan kajian itu pada 5 Disember di Putrajaya.
Jurang jantina semakin mengecil
Walaupun murid lelaki memerlukan sokongan lebih khusus dalam Literasi Bacaan, Dr Mohd Azam menjelaskan jurang jantina kini semakin mengecil.
Perkembangan positif itu sejajar dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025.
Dalam SEA-PLM 2019, murid perempuan mencatatkan pencapaian yang lebih baik dalam Matematik. Namun, dalam SEA-PLM 2024, pencapaian murid perempuan dan murid lelaki adalah setara, sekali gus menunjukkan bahawa jurang prestasi antara kedua-dua jantina telah menjadi sifar.
“Apabila dilihat mengikut band pencapaian, murid lelaki mencatatkan peratusan lebih tinggi dalam Band 8 dan 9 bagi Matematik, iaitu 17.4 peratus berbanding murid perempuan sebanyak 14.1 peratus,” katanya.

Mohd Azam menunjukkan buku Laporan Awal SEA-PLM 2024 di Putrajaya. — FAIHAN GHANI/The Star
"Ini menunjukkan usaha meningkatkan penguasaan numerasi semakin berkesan, khususnya bagi murid lelaki. Dalam masa yang sama, langkah berterusan turut diambil untuk membantu murid perempuan mencapai tahap prestasi yang lebih tinggi," katanya.
Jurang sosioekonomi
Kajian itu turut menunjukkan jurang ketara antara murid daripada status sosioekonomi (SES) rendah dan SES tinggi, yang semakin melebar berbanding tahun 2019.
“Ini adalah jurang ekuiti paling dominan dalam SEA-PLM 2024, bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat serantau.
“Perbezaan 23 mata skor bagi Literasi Bacaan dan 26 mata bagi Matematik dengan jelas menunjukkan latar belakang keluarga masih memainkan peranan besar dalam pencapaian murid,” katanya.
Tiga ukuran SES yang diambil kira termasuk tahap pendidikan ibu bapa, jenis pekerjaan ibu bapa, serta jumlah buku dan sumber pembelajaran di rumah.
Beliau menambah, murid daripada keluarga SES rendah bukan sahaja berdepan kekangan digital, malah kekurangan ruang belajar sesuai serta sokongan akademik di rumah.
Ketahanan akademik murid
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa 30 peratus murid Malaysia mempunyai potensi ketahanan akademik yang tinggi, namun masih memerlukan sokongan berfokus dan konsisten daripada semua pihak.
62 peratus guru Tahun Lima berkata, mereka sentiasa teruja dan memiliki motivasi untuk ke sekolah manakala 75 peratus murid mempunyai ibu bapa yang berharap anak mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Langkah memperkasa usaha
Dapatan itu memberi galakan kepada KPM untuk mempertingkat usaha bagi memastikan lebih ramai murid cemerlang dan mengurangkan peratusan murid yang ketinggalan dalam literasi asas.
Pihak kementerian kini mengambil langkah menerusi beberapa inisiatif yang sedang dilaksanakan dan diperkukuh selaras dapatan kajian.
Antara inisiatif yang sedang diperkukuh ialah Tujuh Teras Nadi Keunggulan KPM meliputi Kurikulum Persekolahan 2027 untuk prasekolah mulai 2026, Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah (PLaN), Program Intervensi Pengesanan Awal & Intervensi Tahun Satu (IPA), Program Baca Bersama, High Immersive Program (HIP) Remedial Instruction (RI), Program Pemulihan Khas dan Pembangunan Kapasiti Guru.
Mohd Azam berkata, keputusan SEA-PLM juga akan digunakan untuk mengenal pasti dan berkongsi amalan terbaik dari sekolah berprestasi tinggi dan menjalankan inisiatif strategik melalui sesi libat urus dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.
“Secara keseluruhan, dapatan SEA-PLM 2024 memberikan gambaran jelas bahawa Malaysia bukan sahaja perlu berusaha meningkatkan skor purata, tetapi juga memastikan setiap murid tanpa mengira jantina, lokasi atau latar belakang sosioekonomi menerima peluang pembelajaran asas yang adil dan saksama,” kata Mohd Azam.

Berdasarkan hasil dapatan SEA-PLM 2024, murid Tahun Lima negara ini mencatat purata skor 314 dalam Literasi Bacaan dan 310 dalam Matematik.
Sebanyak 69 peratus murid melepasi Band 5 bagi Literasi Bacaan, manakala 74 peratus melepasi Band 5 bagi Matematik.
Murid perlu mecapai sekurang-kurangnya Band 5 dan ke atas bagi memastikan mereka mencapai tahap penguasaan minimum yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 4), iaitu standard minimum yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Walaupun Malaysia menunjukkan prestasi yang agak baik, skor tersebut lebih rendah sebanyak lima mata bagi setiap domain berbanding keputusan pada 2019.
Justeru, lebih banyak usaha diperlukan untuk memastikan murid yang menamatkan sekolah rendah mencapai sekurang-kurangnya tahap penguasaan minimum dalam Literasi Bacaan dan Matematik.
Sebanyak tujuh negara menyertai penilaian 2024 iaitu Filipina, Kemboja, Lao PDR, Malaysia, Myanmar, Vietnam dan Timor-Leste.
SEA-PLM menilai murid Tahun Lima dalam empat domain meliputi Literasi Bacaan, Matematik, Penulisan dan Kewarganegaraan Global.
Namun, hanya keputusan Literasi Bacaan dan Matematik diumumkan setakat ini.
Seramai 4,379 murid Tahun Lima daripada 158 sekolah rendah terlibat dalam penilaian tersebut merangkumi Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Kebangsaan (Asli), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan serta sekolah swasta.

Mohd Azam berkata, penilaian dijalankan dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil, selaras dengan bahasa pengantar masing-masing.
Selain itu, lebih 70 peratus murid menyatakan mereka suka membaca dan menunjukkan minat positif terhadap Matematik.
Secara keseluruhan, murid perempuan mengatasi murid lelaki dalam Literasi Bacaan, namun jurang antara kedua-duanya mengecil daripada sembilan mata (2019) kepada tujuh mata (2024).
Dapatan turut mendedahkan bahawa bagi Literasi Bacaan, 20.2 peratus murid lelaki masih berada pada Band 2 dan 3 berbanding 12.8 peratus murid perempuan.
Mohd Azam berkata, murid yang tinggal di kawasan bandar mencatat prestasi lebih baik berbanding murid di kawasan luar bandar bagi kedua-dua domain, dengan jurang pencapaian bandar-luar bandar juga semakin mengecil. — The Star/ REBECCA RAJAENDRAM
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
