Rembayung bukan kejar 'hype' dan viral tapi projek bisnes F&B dari hati Khairul Aming


  • Bisnes
  • Khamis, 11 Dis 2025

KA (kiri) berkongsi bahawa Rembayung adalah projek paling besar pernah dilakukannya, dengan anggaran pelaburan sekitar RM4 juta.

REMBAYUNG, projek terbaharu usahawan dan pempengaruh Khairul Aming atau KA, sekali lagi mencuri perhatian warganet selepas tular perkongsian mengenai konsep, pelaburan dan pendekatan unik kedai makan itu sebelum pembukaannya.

Dalam satu siaran langsung yang diadakan pada Selasa, KA akhirnya menjelaskan perjalanan sebenar di sebalik Rembayung sekali gus membuatkan jutaan pengikutnya berbangga dengan pencapaian itu.

Bagi seorang pengguna FB, Safuan Borhan, dia berpendapat ada alasan kukuh mengapa premis yang belum dibuka itu sudah 'menggegarkan' platform media sosial.

BACA LAGI: 'Peniaga tertekan fikir kos, pelanggan risau syubhah', kertas pembungkus makanan ada risiko tidak halal

BACA LAGI: Pempengaruh 'Sedaghe' persoal masa daftar masuk hotel makin lewat, ramai setuju rugi masa 'travel'

Menurut KA, Rembayung bukan sekadar restoran baharu, tetapi sebuah projek dibina dari tanah kosong di atas lot seluas kira-kira 8,000 kaki persegi, lengkap bangunan dua tingkat dengan kapasiti 250 pelanggan pada satu-satu masa.

“Siapa dalam industri F&B (food and beverages) tahu yang ia suatu kerja gila,” katanya mengulas tentang projek itu.

KA turut berkongsi bahawa Rembayung adalah projek paling besar pernah dilakukannya, dengan anggaran pelaburan sekitar RM4 juta.

Dalam dunia F&B yang lazimnya bergantung kepada sewaan premis, keputusan membina bangunan sendiri dianggap langkah berani, malah jarang dilakukan oleh pengasas atau personaliti media sosial.

Projek berprofil tinggi ini juga menarik perhatian kerana KA memilih untuk tidak membuat sebarang pengumuman, ‘teaser’, atau perkongsian perkembangan selama hampir setahun.

“Diam-diam, tiba-tiba drop nama Rembayung… terus Malaysia kecoh. Orang suka cakap ala 'hype' saja tu tapi bila kau dengar sendiri cara KA terangkan, kau boleh rasa projek ni memang dia buat dari hati, bukan sebab nak masuk trend F&B,” kata Safuan lagi.

Tidak seperti banyak kedai viral yang sering dibanjiri pelanggan sehingga menyebabkan kesesakan, Rembayung akan beroperasi hanya melalui sistem tempahan, tanpa walk-in.

KA menjelaskan langkah itu bagi memastikan pelanggan datang, duduk dan menikmati makanan dengan selesa, bukan menunggu berjam-jam di luar premis.

Menariknya, Rembayung juga memilih kaedah borang pesanan fizikal, bukan kod QR.

Pendekatan 'old-school' itu kata Safuan, dibuat kerana KA mahu pelanggan memberi tumpuan kepada makanan dan suasana, bukan telefon masing-masing.

Dalam sesi siaran langsung sama, KA turut menekankan bahawa semua kakitangan Rembayung terdiri daripada rakyat Malaysia.

Ia satu pendekatan yang mendapat pujian ramai penonton yang menyifatkannya sebagai langkah menyokong komuniti setempat.

Terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur kira-kira sembilan minit dari KLCC, akses ke Rembayung dianggap mudah melalui pengangkutan awam.

Surau turut disediakan meskipun kecil, namun inisiatif itu dipuji kerana mengambil kira pelanggan Muslim yang bakal menjadi majoriti pelanggannya.

Untuk menjaga aliran keluar masuk pelanggan, setiap tempahan ditetapkan had masa makan selama 1 jam 50 minit.

Langkah itu bagi memastikan semua pelanggan mendapat giliran dan mengelakkan mereka “lepak terlalu lama” sehingga menjejaskan operasi.

Walaupun belum dibuka, Rembayung sudah menerima ribuan rating di Google, sehingga penyenaraian premis itu terpaksa disembunyikan dua kali akibat dianggap 'spam'.

Fenomena itu menambahkan lagi perbincangan mengenai tahap populariti Rembayung walaupun pintunya belum dibuka kepada umum.

Ramai dalam siaran langsung itu mengakui bahawa kejayaan Rembayung bukan sekadar terletak pada konsep atau modal besar, tetapi kerana reputasi KA sendiri yang dikenali konsisten, sikap rendah diri ketika bekerja dan sentiasa menghasilkan projek berkualiti.

"Ini level 'hype' yang bukan semua jenama boleh replicate. Lepas tengok live tu, aku baru faham satu benda tentang kenapa viral teruk kedai dia. 

"Kenapa dia berjaya? Sebab dia KA. Itu saja. Jangan penat nak bedah, itu sebab orang sokong," katanya.

Buat masa ini, tarikh rasmi pembukaan Rembayung disebut pada Januari 2026, namun 'hype' yang tercetus jelas menunjukkan bahawa kehadirannya bakal memberi impak besar dalam landskap F&B tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram