SEORANG pengusaha katering berkongsi pengalaman mendukacitakan apabila menjadi mangsa penipuan menggunakan taktik Local Order (LO) palsu.
Peniaga itu yang menggunakan nama issanorsyazana21 di Threads mendakwa ditipu individu yang kononnya mahu membuat tempahan rasmi bagi sebuah jabatan kerajaan.
Kejadian itu dikongsikan pada Khamis selepas ibu tunggal enam anak itu menerima tempahan katering untuk 150 pax, kononnya bagi satu majlis kelolaan Jabatan Imigresen.
BACA LAGI: Pempengaruh 'Sedaghe' persoal masa daftar masuk hotel makin lewat, ramai setuju rugi masa 'travel'
Menurut peniaga tersebut, semuanya kelihatan meyakinkan pada awalnya termasuk surat 'LO' yang dihantar oleh pihak yang memperkenalkan diri sebagai pegawai jabatan.
Namun, pada hari penghantaran, wanita terbabit mendakwa, suspek mula melaksanakan modus operandi yang sering dikaitkan dengan sindiket penipuan tempahan kerajaan.
Katanya, suspek mendakwa mereka turut menempah hadiah daripada seorang pembekal dan meminta dia membuat pembayaran bagi pihak mereka.
Malah, mereka mengarahkan harga tersebut dinaikkan kononnya untuk tuntutan jabatan dengan jumlah yang cuba diperdayakan mencecah RM9,000.
Namun, peniaga itu mula berasa curiga apabila lokasi gudang disebut berada di Kuantan, Pahang sedangkan dia berada di Kelantan.
Keadaan menjadi lebih meragukan apabila katanya, suspek bertindak marah setelah dia enggan meneruskan pembayaran tersebut.
Merasa ada yang tidak kena, peniaga itu mengambil inisiatif memeriksa sendiri lokasi jabatan dan nama pegawai yang diberikan. Hasilnya, tiada majlis berlangsung dan tiada pegawai bernama seperti didakwa.
“Ya ALLAH, pertama kali jadi macam ni. Lauk pun dah separuh siap masak,” katanya yang turut berkongsi dirinya sedang berdepan tekanan lain apabila anaknya perlu dimasukkan ke wad pada hari sama.
Kejadian itu bukanlah perkara baru kerana banyak lagi kes penipuan yang menggunakan LO kerajaan palsu.
"Nampak macam diorang target peniaga kecil serta sederhana. Walaupun ada perniagaan besar mungkin tidak terkesan, bagi peniaga kecil, kerugian seperti ini amat memberi impak," kata seorang pengguna Threads yang simpati dengan nasib menimpa issanorsyazana21.
Peniaga tersebut berharap kejadian tersebut menjadi pengajaran, terutamanya apabila dia sendiri mengakui kesilapan kerana tidak mengambil deposit terlebih dahulu.
Walaupun terkilan, dia tetap memohon doa agar rezekinya dipermudahkan dan menerima lebih banyak tempahan selepas ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
