Konsep infak disalah guna lariskan jualan, 'founder' tegur peniaga manipulasi istilah agama


  • Bisnes
  • Khamis, 11 Dis 2025

Tawaran infak oleh peniaga sering menimbulkan kekeliruan kerana konsep infak dan urus niaga sebenarnya berbeza. — Gambar hiasan/ Janaan AI

SEORANG pengasas produk, Iddin Syah, menegur segelintir peniaga yang menyalahgunakan perkataan 'infak' bagi tujuan melariskan jualan produk atau perniagaan.

Iddin Syah menerusi hantaran di Threads meminta peniaga supaya menggunakan perkataan 'infak' dengan jujur dan bukan semata-mata sebagai teknik pemasaran bagi mengaut keuntungan.

"Kepada peniaga, jangan biasakan guna perkataan 'infak' untuk melariskan jualan anda. Infak ini hanya berlaku atas niat pembeli, bukan suruhan daripada penjual kepada pembeli," katanya.

BACA LAGI: Terima ‘LO kerajaan’ palsu, pengusaha katering di Kelantan hampir diperdaya individu menyamar badan penguat kuasa

BACA LAGI: 'Peniaga tertekan fikir kos, pelanggan risau syubhah', kertas pembungkus makanan ada risiko tidak halal

Posting itu dipersetujui ramai kerana rata-rata berpendapat penggunaan perkataan berunsur keagamaan itu, jika tidak kena cara dan tempat boleh dianggap satu bentuk eksploitasi.

Seorang pengguna Thread @zira_mysara berkata,

“Peniaga tak payahlah minta infak atas jualan sendiri. Harga tetap sama, tapi pelanggan pula diminta bersedekah. Jadi apa konsep sebenarnya?” katanya.

Ada juga yang menganggap tindakan itu sebagai jalan pintas berniaga, apabila unsur ibadah digunakan bagi menarik simpati pelanggan dan sekali gus meningkatkan jualan.

Seorang individu lain pula berkongsi pengalaman apabila rakannya mula menjual makanan menggunakan ayat 'open infak untuk masjid' walaupun ia sebenarnya sebahagian daripada jualan peribadi.

“Kita bagi infak untuk masjid, bukan untuk peniaga. Tiba-tiba dia pula buat infak untuk kaut untung,” katanya.

Berdasarkan soal jawab agama di Jabatan Mufti Negeri Selangor, penggunaan konsep infak dalam perniagaan tidak salah dari sudut syarak selagi ia dilakukan secara telus, dengan pengasingan jelas antara jualan dan sumbangan atau pemberian.

"Jual/beli dan infak/derma/sedekah adalah dua perkara yang berbeza. Jual beli dari sudut bahasa adalah bererti menukar sesuatu dengan sesuatu manakala perkataan infak dalam bahasa Arab bererti tabbaru’.

"Secara syarak, jual beli adalah tukar menukar harta dengan harta untuk memiliki dan memberi pemilikan manakala mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, infak atau derma dinyatakan sebagai pemberian yang ikhlas.

"Jadi menderma ialah memberikan sesuatu dengan ikhlas dengan niat untuk mendekatkan diri kepada ALLAH.

"Oleh itu, berdasarkan penerangan tersebut, dibolehkan untuk berinfak dengan duit atau nilaian yang disepakati antara pembeli dan penjual atas dasar amanah dan seterusnya penjual menjadi wakil pembeli untuk menginfak harta tersebut kepada golongan yang ingin dibantu.

"Tiada unsur paksaan dan penjual berkewajiban melaksanakan amanah tersebut dan perlu dibuktikan ia telah diserahkan," jelas portal itu.

Oleh yang demikian, jika peniaga betul-betul mahu buka ruang infak, perlu ada ketelusan seperti bukti agihan dan pengasingan dana gar ia tidak mudah disalah tafsir sebagai manipulasi agama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram