RAMAI pengasas perniagaan sering menyangka perkembangan yang perlahan menandakan kelemahan dalam operasi masing-masing.
Namun menurut strategi perniagaan, Yus Faizal, pertumbuhan perlahan tetapi stabil sebenarnya menunjukkan asas bisnes sedang mengukuh dan bergerak ke arah lebih mampan.
Dalam satu perkongsian mengenai trend perniagaan kecil dan sederhana (PKS) di Threads, dia memberi beberapa indikator utama yang dikenal pasti sebagai tanda bahawa sesuatu bisnes berada di landasan kukuh walaupun tidak menunjukkan lonjakan jualan secara drastik.
BACA LAGI: 'Bumbung bocor, solar hidup segan mati tak mahu', peniaga sedih MyKiosk kurang praktikal
BACA LAGI: Pempengaruh 'Sedaghe' persoal masa daftar masuk hotel makin lewat, ramai setuju rugi masa 'travel'

Pemilik bisnes digalakkan menilai data seperti corak pembelian dan maklum balas pengguna. — Gambar hiasan/ Freepik
1. Menarik pelanggan lebih berkualiti
Antara petunjuk paling jelas ialah perubahan dalam jenis pelanggan yang hadir. Jika pelanggan semakin mudah berurusan, kurang cerewet dan lebih menghargai nilai sebenar produk atau perkhidmatan, itu menandakan bisnes mula menarik segmen pasaran yang tepat.
Dia menyifatkannya sebagai 'growth' jangka panjang, kerana pelanggan yang betul memberi rantaian kesetiaan dan bukannya drama atau kompelin.
2. Sistem operasi mula terbentuk
Bisnes yang sedang mengukuh kebiasaannya menunjukkan peningkatan dari segi proses walaupun masih kecil. Prosedur kerja mula seragam, prosedur operasi standard (SOP) mula diwujudkan untuk tugas berulang dan aliran urusan pelanggan menjadi lebih jelas.
Keadaan itu menandakan peralihan daripada fasa survival kepada fasa lebih tersusun, yang menjadi asas kepada scalability.
3. Pelanggan ulang beli meningkat
Walaupun jumlah jualan mungkin tidak melonjak, peningkatan pelanggan yang melakukan pembelian berulang adalah petunjuk paling bernilai.
“Repeat customer bermaksud kepercayaan dan kepercayaan adalah bahan utama lonjakan bisnes jangka panjang,” ujarnya.
Bisnes besar hari ini, katanya, tidak terbina kerana viral semata-mata, tetapi kerana mempunyai asas pelanggan setia.
4. Pengasas semakin jelas fokus bisnes
Pertumbuhan perlahan juga sering menunjukkan pengasas semakin memahami apa yang berkesan dan apa yang perlu ditinggalkan.
“Perlahan bukan masalah. Perlahan itu fokus,” jelasnya, merujuk kepada kematangan dalam membuat keputusan dan menetapkan strategi.
Apa langkah seterusnya?
Berikut tiga tindakan utama untuk memanfaatkan momentum pertumbuhan stabil:
• Kemaskan sistem
Pastikan semua perkara berulang meliputi onboarding, komunikasi pelanggan, follow-up dan proses jualan, mempunyai SOP yang jelas.
• Tetapkan strategi 30 hari
Fokus kepada satu atau dua penambahbaikan yang memberi impak tinggi, berbanding mengejar semua peluang serentak.
• Bangunkan kepercayaan jenama (brand trust)
Konsistensi, pengalaman pelanggan yang baik dan komunikasi jujur meningkatkan kesetiaan pelanggan.
Selain itu, pemilik bisnes digalakkan menilai data pelanggan seperti corak pembelian dan maklum balas untuk memahami punca sebenar repeat purchase.
Dia menegaskan, pertumbuhan perlahan tidak seharusnya dianggap kelemahan. Sebaliknya, ia adalah petanda struktur bisnes sedang kuat dan mampu bertahan lama dalam pasaran yang semakin kompetitif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
