TULAR di media sosial apabila seorang peniaga kek mencetuskan kemarahan ramai selepas menggunakan ayat berunsur ‘rage bait’ untuk mempromosikan produk jualannya.
Menerusi perkongsiannya di Threads, peniaga berkenaan tidak kisah mempromosikan kek coklat moist berharga RM5 dengan kapsyen yang mengundang rasa tidak puas hati kerana dianggap menghina status kehidupan orang.
“Kek coklat moist untuk orang miskin dah ready, RM5 je. Takkan tak mampu lagi?," tulis di ruangan kapsyen.
Satu lagi kapsyen berbunyi, "Aku buat kek RM5 untuk orang miskin, kalau tak mampu beli lagi tak tahu la nak cakap apa,"
BACA LAGI: Konsep infak disalah guna lariskan jualan, 'founder' tegur peniaga manipulasi istilah agama

Kek coklat moist yang dijual Cha's Dessert mesra poket untuk golongan pelajar di Ipoh.
Ayat itu dianggap tidak sensitif dan menghina golongan kurang berkemampuan, sekali gus mengundang kecaman ramai termasuk mereka yang bekerja dalam sektor perniagaan kecil.
Seorang peniaga kek lain, cha.ril7 berkata, peniaga sepatutnya menjaga adab dan empati kerana ramai usahawan kini berdepan cabaran besar mendapatkan jualan.
“Selalu peniaga nak dapat doa yang baik-baik. Tapi yang ini mengundang kemarahan orang ramai dan doa yang bukan-bukan daripada orang ramai.
"The way she mention ‘RM5 untuk orang miskin’ memang tak beradab. Tiada empati langsung.
"Tahu tak sekarang ni semua orang struggle meniaga nak dapatkan sales. Berniaga lah elok-elok," katanya yang turut menjual kek coklat moist pada harga mampu milik RM5 supaya golongan pelajar di Ipoh, Perak boleh merasa air tangannya.
Seorang lagi pengguna menegur penggunaan ayat sedemikian yang disifatkan sebagai tidak sesuai dan boleh menjejaskan imej perniagaan.
“Kalau saya, saya pilih ayat ‘kek coklat moist harga mampu beli, semua orang boleh rasa’. Lebih manis dan tak menyakitkan hati,” tulisnya.
Ada juga yang mengingatkan peniaga itu bahawa pelanggan daripada pelbagai latar belakang termasuk yang berpendapatan rendah.
Walaupun tidak berkemampuan, mereka juga adalah antara penyumbang rezeki kepada mana-mana bisnes kecil.
“Tak baik cakap kek untuk orang miskin. Tanpa orang miskin, siapa yang nak beli kek awak?” ujar seorang lagi pengguna.
Dalam era persaingan perniagaan yang semakin mencabar, ramai berpendapat peniaga perlu lebih berhati-hati memilih bahasa, terutama apabila pemasaran di media sosial berpotensi mempengaruhi reputasi dan keyakinan pelanggan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
