SYARIKAT penerbangan milik kerajaan Sarawak, AirBorneo, dijangka memulakan operasi sulungnya pada Januari tahun depan.
Pengumuman itu seharusnya membawa satu nafas baharu kepada jutaan rakyat Sarawak yang sudah lama mengharapkan pilihan penerbangan lebih murah dan lebih mesra rakyat.
Saya sendiri, sebagai anak jati Sarawak mengakui detik ini sebenarnya menjadi antara momen paling istimewa yang ditunggu-tunggu.
BACA LAGI: ‘Rumah nenek ada Wi-Fi tak?’, tanda kebergantungan digital kanak-kanak makin membimbangkan
Manakan tidak, selama ini kami hanya bergantung kepada dua syarikat penerbangan utama untuk ke destinasi jauh, baik dalam negeri mahupun ke Semenanjung.
Ada waktunya harga tiket terlalu mahal, sehinggakan ramai terpaksa menangguhkan perjalanan penting daripada urusan rawatan kesihatan, menziarahi keluarga, hinggalah keperluan menghantar anak masuk universiti.
Namun, rasa bangga itu bertukar sedikit hampa selepas saya melayari laman sesawang AirBorneo setelah ia dilancarkan secara rasmi pada Rabu.
Keterujaan yang selama ini membuak-buak terus merosot apabila melihat struktur harga yang tidak jauh bezanya daripada syarikat penerbangan komersial lain.
Malah, untuk beberapa laluan, harganya lebih tinggi daripada pasaran.

Perbandingan harga tiket sehala AirAsia (kiri dan AirBorneo (kanan) dari Kuching ke Miri.
Sebagai contoh, tambang sehala Kuching ke Miri pada 30 Januari mencecah RM259. Jika dibandingkan dengan AirAsia yang menawarkan RM119 pada tarikh sama, jurangnya terlalu ketara.
Saya faham bahawa sebuah syarikat penerbangan baharu memerlukan masa untuk menstabilkan operasi, menampung kos penyelenggaraan, latihan kru, serta urusan teknikal yang bukan kecil jumlahnya.
Tidaklah saya mengharapkan tambang melampau murah seperti bawah RM100, apatah lagi pada fasa awal.
Namun, sekurang-kurangnya berilah sedikit rebat atau insentif khas untuk anak Sarawak, lebih-lebih lagi apabila AirBorneo diwujudkan dengan tujuan asal membantu penduduk luar bandar menikmati tambang lebih rendah berbanding harga pasaran.
Tambang istimewa itu penting kerana AirBorneo sendiri diwujudkan untuk memastikan lebih ramai penduduk terutama dari kawasan luar bandar dan pedalaman berpeluang menggunakan pengangkutan udara tanpa terbeban oleh kos yang tinggi.
Jika harga awal pun sudah menandingi syarikat gergasi lain, takut nanti hasrat untuk menjadikan AirBorneo sebagai 'penerbangan rakyat' hanya tinggal slogan.

Rakyat Sarawak sudah lama menunggu penerbangan yang benar-benar memahami keperluan komuniti setempat. — Gambar Hiasan/Facebook Sarawak Di Hati
Ramai yang mahu melihat AirBorneo menjadi pemangkin perubahan, bukan sekadar satu lagi pemain industri yang mengulangi pola harga sama.
Harapan saya mudah, jika ini penerbangan untuk rakyat Sarawak, maka buktikanlah melalui tambang yang lebih adil, insentif yang relevan dan pendekatan yang benar-benar berpaksikan kemampuan pengguna.
AirBorneo masih mempunyai masa untuk memperbaiki persepsi awal ini. Saya tidak meminta bulan dan bintang cukup sekadar tambang yang munasabah, rebat khas untuk penduduk negeri ini.
Bukti bahawa syarikat penerbangan ini wujud bukan sekadar untuk bersaing atau mengaut untung semata-mata tetapi untuk berkhidmat dan jika itu dapat dipenuhi, barulah AirBorneo mampu terbang setinggi harapan rakyatnya. — Majoriti
*Kumang Simanggang merupakan seorang anak jati Sarawak.
**Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti**
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
